PLUS

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya memansuhkan tol kerana Plus Malaysia Berhad (PLUS) masih menanggung bon sebanyak RM30 bilion.

Selain itu, PLUS sudah menstruktur tol-tol sehingga tahun 2038.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari berkata, sebenarnya banyak tol-tol yang perlu dinaikkan setiap tiga tahun tetapi ditangguhkan.

“PLUS tidak menaikkan tol dari 2005 hingga 2016, jadi tidak boleh memansuhkan tol tak tentu pasal kerana ia ada liabiliti RM30 bilion.

“Kalau kerajaan nak buat semua pada ketika ini akan menjejaskan perbelanjaan seperti kesihatan awam dan pendidikan.

“Jadi mana yang kita mampu ambil sikit-sikit, kita buat,” katanya ketika ditemui pada Seminar Percukaian Kebangsaan di sini.

Terdahulu dalam program Soal Jawab di TV3 malam tadi, Johari berkata, kerajaan membayar pampasan bagi empat tol yang dimansuhkan mulai tahun depan bagi menyerap kerugian oleh syarikat pengendali tol.

Katanya, pampasan itu melibatkan RM180 juta bagi Tol Batu Tiga dan Sungai Rasau di Selangor dan RM8 juta bagi Tol Bukit Kayu Hitam.

Johari berkata pampasan bagi pemansuhan kutipan empat tol kepada operator terbabit akan dibayar menggunakan sumber kerajaan.

Pada pembentangan Bajet 2018 Jumaat lalu, Perdana Menteri mengumumkan pemansuhan empat tol termasuk Eastern Dispersal Link (EDL) di Johor mulai 1 Januari 2018. – MalaysiaGazette