JOHOR BAHRU – Membawa kereta buruk dan lama untuk mengedar dadah secara runcit sebelum dijual kepada tokan dadah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Itu modus operandi dilakukan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar bandar raya ini.
Bagaimanapun taktik mereka terbongkar selepas sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor melakukan serbuan di Kulai dan Skudai Rabu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, menerusi serbuan terbabit pihaknya menahan empat lelaki warga tempatan termasuk dalang sindiket itu.
“Dalam serbuan pukul 4 petang hingga 9 malam, menerusi operasi khas ini pihak polis merampas pelbagai dadah bernilai RM309,192.
“Sindiket ini menggunakan kenderaan tersebut sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di IPK Johor di sini hari ini.
Katanya, serbuan pertama dilakukan di tepi jalan daerah Kulai dan menahan tiga suspek bersama-sama sebuah kereta dengan sejumlah dadah.
Serbuan kedua pula ujarnya, berjaya menahan lagi seorang suspek bersama-sama kereta yang diparkir di kawasan tempat letak kenderaan sebuah kondominium berpagar dan berpengawal.
Menurutnya, pihak polis menemukan ganja mampat dalam kereta tersebut yang dijadikan stor penyimpanan.
Dalam dua serbuan itu katanya, pihak polis berjaya merampas 55,904 gram ganja (RM173,302); 11,795 gram heroin (RM113,493), 122.70 gram syabu (RM13,497), 21 gram pil eramin 5 (RM1,400) dan 70 gram pil ekstasi (RM7,500).
Kata Kumar lagi, hasil saringan urin mendapati dua daripada kesemua suspek berumur 29 hingga 49 tahun, positif dadah jenis methamphetamine.
Hasil semakan rekod lampau pula katanya, mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.
“Bekalan dadah ini dipercayai diperolehi dari Kuala Lumpur dan sindiket ini juga bertindak sebagai pemborong yang seterusnya menjual secara rincit dengan dipaketkan semula dengan peket kecil.
“Pelanggan mereka adalah penagih dadah yang mereka tahu lokasi dimana untuk menjual. Kegiatan mereka tidak melibatkan orang lain sebagai penghantar. Semua dilakukan oleh ahli sindiket ini, yang menyukarkan ianya dikesan,” katanya.
Kumar memberitahu, dadah yang dirampas dalam operasi berkenaan boleh digunakan seramai 115,712 penagih sekiranya terlepas di pasaran.
“Dalam serbuan ini turut disita dua buah kereta yang digunakan sebagai stor penyimpanan, sebuah motosikal, seutas rantai emas dan wang tunai berjumlah RM233,” katanya.
Tambahnya, kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 2 Oktober depan, kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.- MalaysiaGazette