PHNOM PENH – Duta Besar Malaysia di Kemboja, Datuk Seri Hasan Malek mendedahkan terdapat seramai 13 warga Malaysia ketika ini dipenjara di Kemboja kerana kesalahan kes penyeludupan dadah di negara itu sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, kesemua individu membabitkan lelaki dan wanita berusia 20 dan 30-an itu  menjadi mangsa sindiket untuk membawa bahan larangan berkenaan.

Katanya, mereka yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh sebelum didakwa di mahkamah sebelum disumbat ke penjara.

“Semua 13 individu ini dipenjarakan antara tempoh dua hingga tiga tahun. Selain itu ada juga yang dipenjara seumur hidup,” katanya pada sidang media bersempena Majlis Perasmian Rangkaian Kedua Hotel Nagaworld milik usahawan Malaysia, Tan Sri Dr. Chen Lip Keong di Phnom Penh hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Pelancongan Kemboja, Dr. Thong Khon dan hadir sama Dr. Chen.

Jelas Hasan, usaha untuk membawa balik rakyat Malaysia yang ditahan agak sukar memandangkan kerajaan tidak pernah memeterai sebarang urusan bersama Kemboja untuk membawa pulang banduan membabitkan rakyat Malaysia.

“Pada masa sama saya menasihatkan rakyat negara kita jangan terjebak kegiatan yang boleh merosakkan masa depan,” katanya.

Dalam perkembangan berasingan katanya, kerajaan akan melihat beberapa perkara untuk membawa masuk pembantu rumah warga Kemboja selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pengambilan tanpa melalui agen pada Bajet 2018 minggu lepas.

“Kita sedia maklum Kemboja antara negara yang mengetatkan pengambilan pembantu rumah warga mereka. Sehubungan itu kerajaan sedang berurusan bagi menyelesaikan masalah terbabit.

“Antara diberi perhatian adalah penyediaan latihan, persetujuan gaji, pengesahan pihak berkuasa negara itu dan sebagainya.

“Masalah ini akan diselesaikan dalam masa terdekat yang dijangka awal tahun depan,” kata beliau lagi. – MalaysiaGazette