MIRI – Kestabilan politik yang dikecapi sejak dua tahun lepas di Malaysia tidak harus disalah guna oleh pemimpin politik bagi mengukuhkan kedudukan sebaliknya perlu dimanfaat sebagai ruang untuk melaksanakan dasar yang baik untuk rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kestabilan yang membawa kepada pengukuhan nilai mata wang ringgit, pengangguran berkurangan dan inflasi lebih terkawal telah membolehkan kerajaan semasa menumpukan usaha membangunkan rakyat.
“Kadangkala masih ada orang politik yang sudah agak terdesak, yang agak lemas, dia tengok ekonomi berkembang, ringgit kian kukuh, tahap pengangguran berkurangan, peluang pekerjaan meningkat dan inflasi lebih terkawal maka jalan keluar untuk mereka adalah menghasut supaya timbul kebencian antara kaum serta kegelisahan kerana perbedaan faham agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program MADANI Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di sini hari ini.
Anwar berkata, persefahaman kaum di Sarawak yang menjadi asas kepada kestabilan politik di wilayah itu wajar dijadikan contoh untuk negeri lain bagi membolehkan mereka menumpukan kepada usaha pembangunan. – Bernama