Banjir di sekitar Seberang Prai, Pulau Pinangmulai beransur surut selepas cuaca cerah dan tidak hujan selama 2 hari, namun masih terdapat beberapa kawasan kampung yang masih terjejas berikutan kawasan yang rendah. foto SAFWAN MANSOR, 08 NOVEMBER 2017

SEBERANG PERAI – Keadaan langit cerah dan tiada hujan selama dua hari di sekitar Seberang Perai, Pulau Pinang menyebabkan paras air di kawasan itu semakin surut.

Dalam tinjauan Malaysia Gazette awal hari ini mendapati beberapa jalan yang dilitupi air banjir sudah kering dan dibuka untuk kenderaan ringan.

Antaranya Jalan Kampung Baharu, Lahar Yooi di Tasek Gelugor yang kini sudah tidak digenangi air berbanding pada hari pertama tragedi air banjir besar melanda kawasan ini.

Malah Jalan Kampung Guar Petai juga turut menunjukkan situasi sama apabila jalan tersebut sudah boleh dilalui.

Lebuhraya Butterworth-Kulim juga sudah menunjukkan tanda-tanda air surut dimana sebelum ini laluan berkenaan yang menuju ke Kulim ditutup kerana dipenuhi air banjir.

Hasil tinjauan Malaysia Gazette di Bukit Mertajam juga turut menunjukkan perkembangan positif.

Di pusat penempatan banjir Pejabat Daerah Seberang Perai Tengah, rata-rata mangsa banjir sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing hari ini.

Pusat berkenaan pernah dilawati oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam siri lawatan sehari ke Pulau Pinang, semalam.

Terbaharu, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di dua pusat pemindahan di negeri ini berkurang kepada 5,729 orang setakat jam 8 malam tadi berbanding 7,294 orang tengah hari berikutan air semakin surut.

Jurucakap bilik gerakan banjir polis berkata daripada jumlah, sebanyak 3,789 orang daripada 980 keluarga ditempatkan di 36 pusat pemindahan di daerah Seberang Perai Utara (SPU) manakala 1,930 orang daripada 465 keluarga di daerah Seberang Perai Tengah.

Menurutnya, pusat pemindahan di daerah Seberang Perai Selatan, Barat Daya dan Timur Laut telah ditutup selepas semua mangsa pulang ke rumah masing-masing.

Hampir keseluruhan kawasan di Pulau Pinang terjejas akibat banjir dengan beberapa kawasan  ditenggelami air di antara 0.2 dan satu meter, diikuti angin kencang dan hujan lebat sejak Sabtu lepas yang turut menumbangkan puluhan pokok.

Hingga kini, kejadian banjir yang dikatakan terburuk di negeri ini telah meragut tujuh nyawa. – MalaysiaGazette.