ISKANDAR PUTERI, 12 Nov -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa (kanan) dan Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Azmi Rohani ketika Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Bersama Penjawat Awam Negeri Johor di Pinewood Iskandar Malaysia Studios hari ini. --fotoBERNAMA (2017) HAK CIPTA TERPELIHARA

ISKANDAR PUTERI – Penjawat awam Johor dijangka menerima bayaran khas melebihi RM1,500 yang bakal diumumkan dua minggu lagi pada pembentangan Bajet Negeri 2018.

Setiausaha Kerajaan Johor Datuk Azmi Rohani bagaimanapun berkata jumlah sebenar bayaran hanya akan diumumkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika pembentangan bajet itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 23 Nov ini.

“Kerajaan negeri menjamin bayaran khas untuk penjawat awam Johor adalah lebih baik daripada apa yang dinyatakan kerajaan persekutuan sebelum ini.

“Ini sebagai penghargaan kepada semua penjawat awam Johor,” kata beliau kepada pemberita selepas Sesi Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dihadiri Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa serta kira-kira 2,700 penjawat awam di Pinewood Iskandar Malaysia Studios di sini, hari ini.

Katanya, ketika ini, terdapat 16,612 penjawat awam negeri dan 121,335 penjawat awam persekutuan berkhidmat di Johor.- BERNAMA