KUALA LUMPUR – Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sedang mengkaji sistem pembayaran tambang tren dan bas dengan imbasan wajah pengguna menerusi akaun bank mereka.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu, Datuk Seri Azmi Abdul Aziz berkata, Prasarana memerlukan masa untuk memastikan pelaksanaannya selamat digunakan dan tanpa sebarang kebocoran data pengguna.
“Kita tahu pengecaman wajah sudah dilaksanakan di beberapa lapangan terbang antarabangsa di dunia ini untuk mengesan orang sangat dikehendaki dalam kes jenayah oleh pihak berkuasa, tetapi pelaksanaannya masih awal masih belum diserap sepenuhnya.
“Tetapi teknologi itu sedang dibangunkan,cuma selepas ia mencapai tempoh matang akan melihat bagaimana hendak memperkenalkan sistem itu dalam penangkutan awam kita.
“Aspirasi belia untuk menggunakan pengangkutan awam bas dan tren kendalian Rapid tanpa sebarang tiket adalah realiti, cuma masa sahaja mengenai bila kita boleh laksanakannya dan kami memerlukan tempoh untuk menjalankan kajian sepenuhnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian 42 bas RapidKL setingkat dan dua bas dua tingkat serta dua tren LRT dibaluti promosi iklan TN50.
Majlis tersebut disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
Menurut Azmi, di negara lain sudah ada sistem membayar tambang menggunakan telefon bimbit di stesen bas dan tren menerusi menerusi akaun e-wallet
“Di sini pun kita sudah ada e-wallet untuk caj tambang dalam touch nGo di bas Rapid, tren dan tol namun akan dikembangkan dengan integrasikan e-wallet dengan akaun bank pengguna.
“Cuma kini kita kena menyiapkan program sistem tanpa tunai dibawah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Kemudian ia akan dimigrasikan kepada kad kredit dan telefon bimbit, sekali gus memberi opsyen pelbagai kepada pengguna awam,” ujarnya.- MalaysiaGazette