SEOUL – Seorang anggota tentera Korea Utara yang berpaling tadah ke Korea Selatan ditembak sebanyak enam kali oleh pihaknya ketika beliau memandu ke sempadan yang dikawal ketat dan berlari ke seberang ketika peluru bersimpang siur.
Pemerintah Pertubuhan bangsa-Bangsa Bersatu (UNC) diketuai Amerika Syarikat yang memantau genjatan senjata sempadan di kampung Panmunjom di mana anggota tentera itu berpaling tadah semalam berkata, anggota terbabit telah memandu kenderaan berhampiran batas pemisah sempadan yang dikawal ketat itu.
“Dia kemudiannya keluar daripada kenderaan dan terus menuju ke selatan melintasi sempadan ketika dia ditembak oleh tentera lain dari Korea Utara,” menurut kenyataan UNC yang dipetik AFP.
Seorang pegawai Ketua Staf Bersama Korea Selatan berkata, pengawal sempadan Korea Utara melepaskan sekurang-kurangnya 40 tembakan.
Seorang doktor sedang merawat anggota tentera, yang dibawa ke hospital dengan helikopter, untuk dilakukan pembedahan berkata, dia telah ditembak sebanyak setengah dozen dan mengalami kecederaan perut yang serius.
“Dia mengalami sekurang-kurangnya enam kecederaan akibat ditembak di badan dan luka di abdomen adalah paling serius,” kata doktor Lee Cook-Jong kepada pemberita.
Amat jarang anggota tentera Korea Utara berpaling tadah melalui batas sempadan di perkampungan yang merupakan tarikan pelancong itu dan hanya sebahagian kawasan sempadan di situ bertentangan antara satu sama lain.
Pada 1953 genjatan senjata yang menamatkan perang Korea ditandatangani di Panmunjom dan sejak itu ia telah menjadi tuan rumah perbincangan antara kedua-dua negara Korea tersebut, kadang kala perbincangan diadakan di pondok yang terbuka kedua-dua belah bahagian.
Tindakan angoota tentera yang berpaling tadah itu memandu kenderaan mencadangkan dia mungkin bukannya anggota elit tentera Korea Utara yang bertugas di Panmunjom yang mana golongan elit tentera akan disaring dan dipilih untuk mendapatkan kesetiaan mereka.
Tiada pelancong yang berada di kawasan tersebut ketika itu kerana tiada lawatan yang dijalankan pada hari Isnin.
Menurut tentera Korea Selatan, tidak terdapat berbalas tembakan di sempadan dan kenyataan UNC menegaskan, tiada tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat cedera.
Kejadian kira-kira pukul 4 petang berlaku ketika ketegangan di Semenanjung Korea yang tercetus daripada program nuklear Korea Utara sedang memuncak.
Tidak seperti di kawasan sempadan lain, Panmunjom tidak diperkuatkan dengan jerangkap samar dan wayar berduri dan sempadan tersebut hanya ditanda dengan pemisah konkrit yang rendah.
Selepas memecut menyeberangi sempadan, anggota tentera itu berlindung berhampiran sebuah bangunan di Korea Selatan.
Pegawai Ketua Staf Bersama berkata, anggota tentera itu rebah dalam timbunan daun dan tentera Korea Selatan meniarap untuk mengambilnya. – Agensi