A. Kohilan Pillay

KUALA LUMPUR –  Timbalan Setiausaha Agung Kebangsaan DAP, P Ramasamy yang selama ini sentiasa lantang dan ‘bermegah’ diri kononnya DAP parti berbilang kaum kini perlu berundur secara ‘bermaruah’ selepas kekalahan beliau dalam pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu  Ahad lepas.

Kekalahan  Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai mengejutkan pelbagai pihak sebenarnya satu mesej kepada Ramasamy yang sudah tiba masanya beliau perlu memberi laluan kepada generasi muda.

Menurut Naib Presiden Gerakan, Datuk A. Kohilan Pillay, Ramasamy seringkali mengkritik kerajaan terutamanya inisiatif Barisan Nasional membantu masyarakat India di negara ini.

“Ramasamy akan bercakap seolah-olah hanya beliau dan DAP sahaja yang berperanan besar dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan masyarakat India manakala Barisan Nasional sering dipandang serong.

“Saya mahu tanya kepada anda sekarang, apakah perasaan anda kini selepas kalah dalam pemilihan semula pilihan raya parti anda sendiri? Yang menolak anda dan kepimpinan anda adalah ahli parti anda sendiri. Yang menolak untuk mengundi adalah dalam kalangan Cina dan juga India.

“Saya rasa sudah tiba masa untuk anda sedar diri dan memberi laluan kepada muka baru dan golongan muda yang kini lebih diterima dalam DAP berbanding anda. Cukuplah.

“Mungkin Gobind Singh yang merupakan anak kepada mendiang pemimpin lantang Karpal Singh akan diberi peluang ‘satu hari nanti’ untuk menjawat jawatan Setiausaha Agung sekaligus memberi kebanggan kepada rata-rata masyarakat India,” katanya.

Pada 17 April 2013 lepas, Jabatan Pendaftar Pertubuhan mengeluarkan notis arahan melarang DAP daripada membuat sebarang keputusan, susulan pemilihan CEC parti itu pada 15 Disember 2012 yang didakwa wujud penyelewengan apabila berlaku kesilapan pengiraan undi, selain gagal memberi notis kepada 753 perwakilan sah dan layak mengundi.

Keputusan pemilihan semula yang diadakan 2013 tidak dapat diterima berikutan DAP menggunakan senarai perwakilan 2012 yang dipertikaikan banyak pihak termasuk ahli dan bekas ahli dalam parti.

Kohilan mengakui, masyarakat India pernah diabaikan sebelum ini tetapi dengan keprihatinan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kini masyarakat India mendapat perhatian sepenuhnya.

“Di bawah Najib (Perdana Menteri), masyarakat India kini menikmati pelbagai kemudahan dan peruntukkan. Beratus juta diberikan untuk pendidikan dan sosio ekonomi bagi menaik tarafkan kehidupan mereka.

“Sebelum ini, Tun Mahathir yang kini lantang bercakap dan mengangkat DAP walaupun sebelum ini hebat mengkritik juga punca masyarakat India terabai.

“Namun demikian, Ramasamy berterusan mengkritik dan mencari kesalahan seolah-olah mereka telah berjaya memperjuangkan kebajikan masyarakat India. Mengapa tidak dikritik Tun M? Hanya kerana kini sudah berpakat bersama Pakatan Rakyat?

“Jika ikhlas mahu memperjuangkan nasib masyarakat, lakukan secara telus dan betul kerana rakyat juga sedang melihat. Mereka sudah celik dan memerhatikan semuanya. Jangan hanya pandai bercakap sahaja, pelaksanannya tiada,” tegasnya.

Dalam pada itu, pemilihan semula CEC kali ini turut menyaksikan kemerosotan kehadiran perwakilan iaitu 1,356 atau 53.94 peratus berbanding 2,514 orang yang layak mengundi.

Malah walaupun Ketua Menteri merangkap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng terpalit dengan skandal rasuah, namun beliau kembali menjadi Setiausaha Agung parti itu sekali lagi sehingga tahun 2020.