Abang Johari Tun Openg

KUCHING – Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengulangi bahawa Sarawak akan terus memperjuangkan hak negeri itu di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Beliau berkata hak-hak Sarawak termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963, perjanjian antarabangsa yang tidak pernah dipinda oleh semua pihak yang menandatanganinya sebagai anggota setara.

Katanya penandatangan ialah kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sarawak, kerajaan negeri Sabah dan kerajaan United Kingdom dan sehubungan itu, kerajaan Persekutuan secara sendirian tidak boleh meminda perjanjian antarabangsa itu.

“Kami di Sarawak akan terus memperjuangkan hak-hak kami di bawah MA63 kerana jika kami tidak menjaga diri kami, tiada siapa akan berbuat demikian.

“Kami memperjuangkan hak-hak kami di bawah MA63 kerana kami mahu melindungi kepentingan ekonomi kami untuk generasi masa kini dan masa depan Sarawak.

“Ia bagi menuntut semula apa yang Allah telah beri kepada kami untuk dikongsi secara adil di muka bumi ini? katanya dalam ucapan penggulungan pada hari terakhir sidang Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

— BERNAMA