Home Ekonomi Pemaju hartanah terperangkap strategi sendiri

Pemaju hartanah terperangkap strategi sendiri

KUALA LUMPUR – Lambakan hartanah mewah yang berlaku sekarang ini membuktikan dakwaan sesetengah pemaju terdapat permintaan tinggi bagi kediaman, ruang pejabat dan peruncitan adalah spekulasi semata-mata.

Ia juga menunjukkan pembinaan hartanah mewah yang agresif dalam kalangan pemaju selama ini bertujuan untuk meningkatkan nilai hartanah-hartanah terbabit seperti yang berlaku sekarang.

Pemaju bebas membangunkan hartanah kerana tidak ada kawalan daripada kerajaan dan para pemaju memilih untuk membina kediaman berharga RM400,000 ke atas.

“Apabila stok hartanah mewah yang tidak terjual semakin banyak dan permintaan bagi kediaman ini tidak sebagaimana yang digambarkan, ternyata pemaju kini terperangkap sendiri.

“Semasa Bank Negara Malaysia (BNM) memperkenalkan kawalan kredit dengan peminjam prospektif dinilai berdasarkan pendapatan bersih dan bukan pendapatan kasar, banyak pihak tidak berpuas hati.

“Tetapi pada pandangan saya, BNM berjaya membuktikan spekulasi pemaju-pemaju terhadap bekalan kediaman adalah permintaan yang direka-reka (artificial demand),” kata penganalisis hartanah, Sharom Md Ariffin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan kerajaan membekukan projek hartanah bernilai RM1 juta sejak 1 November lalu bagi menangani lambakan hartanah berkenaan.

Jumaat lalu, Gabenor BNM, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, ketidakseimbangan dalam pasaran hartanah menimbulkan risiko ketara kepada pasaran keseluruhan sekiranya berlaku kejutan.

Katanya, ketika pendedahan sektor kewangan bagi ruang ini berada dalam tahap yang selesa, kelebihan bekalan di sesetengah segmen ini boleh menyebabkan kesan limpahan negatif kepada ekonomi yang lebih luas.

Muhammad menegaskan ketidakseimbangan bekalan-permintaan dalam pasaran hartanah telah meningkat sejak 2015, menunjukkan hartanah kediaman yang tidak dijual dalam sedekad, dengan majoriti unit tidak terjual berada dalam kategori berharga RM250,000 ke atas.

Sharom menambah, pada masa ini bukan sahaja kediaman di bandar sahaja yang melonjak tetapi projek-projek hartanah di pinggir bandar pun tidak ada bezanya.

Sambil memberi contoh, beliau mempersoalkan tentang harga rumah di Semenyih dan Alor Setar juga dijual lebih RM400,000.

“Pemaju yang memulakan masalah ini kerana mengejar keuntungan. Jadi, BNM ada alasan kukuh untuk melahirkan kebimbangan dengan lambakan hartanah yang tidak terjual kerana ia boleh memberi kesan buruk kepada ekonomi.

“Semasa krisis ekonomi 1997/98 hartanah tidak terjual kerana masalah pasaran tetapi pada hari ini sebab terlebih bina. Kalau masalah lambakan tidak dapat diselesaikan, ia boleh menjejaskan para pemaju dengan tunggakan hutang.

“Dulu berbeza, sebab itu Dana Modal dan Dana Harta diwujudkan untuk membeli aset-aset ini.

“Kalau tidak ada pembeli, bagaimana pemaju mahu meneruskan kelangsungan perniagaan, hutang kepada bank, kontraktor dan sebagainya,” jelas Sharom. – MalaysiaGazette