Muhammad Muqharabbin Mokhtarrudin.

PUTRAJAYA – Rakyat pertama negara yang bergelar pendaki muda puncak Everest, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin bakal mencipta lagi sejarah baharu sebagai rakyat Malaysia pertama menamatkan eksplorasi sebagai Penjelajah Grand Slam.

Muhamad Muqharabbin, 36, bakal melengkapkan penjelajahannya ke Kutub Selatan bagi memperolehi pengiktirafan peringkat dunia sebagai salah seorang penjelajah Grand Slam.

Gelaran itu diperoleh Muqharabbin setelah berjaya menamatkan siri pendakian di tujuh puncak tertinggi di rujuk benua dunia, penjelajah Kutub Utara dan penjelajahan Kutub Selatan.

“Saya selaku anak muda Malaysia bersyukur kepada kerajaan Malaysia kerana banyak memberi bantuan.

“Saya akan cuba yang terbaik  dalam ekspedisi dan bersedia untuk menempuhi misi yang terakhir ini.

“Saya yakin dan serahkan pada Allah dan saya yakin akan buat yang terbaik kerana saya membawa nama negara,” katanya dalam sidang media.

Muqharabbin bakal memulakan misi itu pada 19 Disember di Chile selama lapan hari sejauh 100 kilometer.

Hadir merasmikan ekspedisi ke kutub Itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid menyifatkan Muqharabbin mempunyai kekuatan luar biasa apabila berjaya menempuh pelbagai cabaran dan dugaan dalam mencipta nama di mata dunia.

“Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin akan menjadi satu-satunya rakyat Malaysia yang pertama mendapat gelaran penjelajahan Grand Slam, setakat ini sudah terdapat 70 orang yang telah mendapat gelaran ini.

“Yang penting bukan kerana beliau, tetapi beliau mewakili 32 juta penduduk Malaysia yang akan mencipta nama di persada dunia. Semoga penjelajahan ini akan memberikan motivasi kepada anak-anak muda terutamanya golongan TN50 akan datang,” katanya ketika merasmikan Ekspedisi Kelab Eksplorasi 7  Benua Malaysia (KE7B) di Putra Perdana hari ini.

Katanya Malaysia sudah melahirkan pelbagai ikon ternama negara namun tidak dalam aktiviti ekspedisi penjelajahan ekstrim.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, Muqharabbin mempunyai kekuatan yang luar biasa dan kekuatan itu harus menjadi ilham kepada golongan muda terutamanya golongan TN50.

“Keberadaan beliau yang pertama mendapat gelaran ini akan dapat mengajak lebih ramai golongan muda TN50 untuk mengukir nama di persada antarabangsa.

“Saya harap menjelang tahun 2050, akan ada 20 lagi orang Muqharabbin yang akan mendapat gelaran itu di negara ini,” katanya.

Hadir sama, Penasihat KE7B, Datuk Akmar Hisham Mokhles dan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberikan  sumbangan RM100,000 untuk membiayai kos membawa Muqharabbin ke Kutub Selatan.

Tambah Ahmad Zahid, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji akan menyambut kepulangan Muqharabbin sebaik misi mengharumkan nama negara itu berakhir 26 Disember depan. – MalaysiaGazette.