SANTIAGO – Bintang bola sepak dunia, Cristiano Ronaldo menunjukkan aksi mengejut apabila berjaya menjaringkan gol kemenangan 3-2 ke atas Malaga dalam perlawan awal pagi Ahad.
Menerusi kemenangan itu, Real Madrid kini hampir mendekatkan kedudukan dengan Barcelona yang kini di puncak La Liga.
Laman portal sukan antarabangsa Eurosport melaporkan, persembahan yang ditonjolkan anak buah Zinedine Zidane itu dianggap cemerlang berbanding Malaga yang gagal menjaringkan sebarang gol sepanjang musim ini.
Laporan itu menyatakan, Karim Benzema membawa Real mendominasi perlawanan pada babak pertama sehinggalah Diego Rolan menyamakan kedudukan tidak lama selepas itu.
Casemiro mengukuhkan kembali kedudukan tuan rumah beberapa minit kemudian, namun Malaga bangkit dengan jaringan Chory Castor yang berjaya melepasi gawang Kiko Casilla.
Bagaimanapun, Ronaldo mengambil tugas sepakan penalti dan pada cubaan kedua berjaya menamatkan kemarau jaringan di La Liga sekaligus memberikan tiga mata kritikal buat Real.
Kini, kelab itu hanya mampu berharap agar pungutan mata Barcelona jatuh ketika menentang Valencia. – MalaysiaGazette