KUALA LUMPUR – Gabungan pembangkang mengakui melakukan kesilapan dalam mengira kehadiran ahli parlimennya semasa undian belah bahagi dalam Rang Undang-undang Perbekalan 2018 pada peringkat Jawatankuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), minggu lalu.

Perkara itu diakui Ahli Parlimen Kapar, G. Manivanan yang menggalas tanggungjawab dalam mengira undian belah bahagi daripada blok pembangkang.

“Saya akui ada kesilapan pada tempoh hari disebabkan pengiraan jumlah yang tidak mencerminkan blok pembangkang,” katanya ketika perbahasan di kalangan ahli parlimen pembangkang mengenai usul di bawah Peraturan Mesyuarat 43 yang dibawa Ahli Parlimen DAP Puchong Gobind Singh Deo.

Dalam undian berkenaan, seramai 52 ahli parlimen menyokong bajet tersebut manakala dua wakil rakyat daripada Pas tidak mengundi.

Sementara hanya 51 ahli parlimen di blok pembangkang menolak bajet berkenaan.

Menurut Manivanan, hasil kiraan semula mendapati 55 ahli parlimen pembangkang hadir dalam sidang dewan ketika itu namun hanya dikira sebagai 54 orang.

Tambahnya, beliau memohon maaf kepada Ahli Parlimen Stampin, Tan Kok Peng atas kesilapan itu.

“Kepada Stampin, saya mohon maaf. Baru tadi saya kira balik, ada 55 orang tapi yang tercatat hari itu adalah 54 orang, tertinggal satu.

“Tempoh hari saya kira dengan Bentara Parlimen dan sekiranya ada kekurangan boleh rujuk balik kepada saya. Sebelum ini ada juga kekurangan yang telah berlaku,” katanya.

Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menyifatkan cubaan blok pembangkang untuk menolak Rang Undang-undang Perbekalan 2018 di peringkat Jawatankuasa KPDNKK adalah berniat tidak baik. -MalaysiaGazette