KUALA LUMPUR – Supermax Corp. Bhd. memberi jaminan kepada kesemua pemegang sahamnya bahawa perniagaan pembuatan sarung tangan getah berjalan seperti biasa meskipun Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Seri Stanley Thai Kim Sim dipenjarakan.
Dalam satu kenyataan di sini, Pengerusinya, Tan Sri Rafidah Aziz berkata, Stanley dihukum atas kesalahan yang berkaitan dengan APLI dan bukan Supermax.
Malah peguam beliau telah memfailkan rayuan untuk meringankan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur.
“Buat masa ini, hukuman masih belum dilaksanakan dan sedang menantikan jawapan kepada permohonan rayuan tersebut.
“Apa yang penting kepada pemegang saham, pelanggan dan rakan perniagaan kami yang pengurusan Supermax dan struktur perniagaannya adalah kukuh dan akan terus melaksanakan pelan-pelan strategik yang telah digariskan.
“Supermax kekal komited untuk mencapai prestasi tertinggi bagi operasi dalam dan luar negara untuk mencapai sasaran yang telah ditetapkan,” katanya.
Jumaat lalu, Stanley dijatuhkan hukuman oleh Mahkamah Seksyen Kuala Lumpur atas kesalahan melakukan dagangan dalam yang melibatkan saham-saham APL Industries Bhd. (APLI).
Beliau dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun dan dikenakan penalti RM5 juta.- MalaysiaGazette