Ee Chin Li

ISKANDAR PUTERI – Seorang wakil rakyat DAP hari ini memuji kerajaan negeri kerana memberi peruntukan kepada pembangunan masyarakat Cina dan India di negeri ini.

ADUN Tangkak, Ee Chin Li berterima kasih kepda kerajaan negeri kerana memperuntukkan sejumlah RM15 juta keseluruhan kepada masyarakat Cina dan India.

“Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi memperuntukkan sejumlah RM7 juta untuk pembangunan masyarakat Cina dan RM8 juta bagi masyarakat India.

“Yang menarik perhatian saya adalah peruntukan untuk sektor pendidikan masyarakat Cina RM1 juta untuk SJKC dan RM500,000 untuk Kolej Universiti Selatan tetapi kerajaan mungkin terlepas pandang peruntukan untuk sekolah menengah dan persendirian Cina,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan Bajet Johor 2018 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Pada masa sama, Chin Li turut memuji usaha kerajaan negeri untuk memartabatkan masyarakat melalui penggunaan teknologi digital supaya Johor selari dengan revolusi industri ke-4.

Beliau berpendapat langkah diambil itu merupakan satu tindakan tepat dan selaras dengan keadaan terkini di mana masyarakat sekarang tidak boleh berpisah dengan penggunaan teknologi dan internet.

“Dengan menggunakan peranti digital dan jalur internet, kita dapat membina sebuah masyarakat berasaskan pengetahuan,” katanya. – MalaysiaGazette