Mohamad Zaini Hassan (duduk, dua dari kanan) mendengar penjelasan Tengku Adnan Tengku Mansor (duduk, tengah) mengenai isu 'slow learner' pada sidang media di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Semua pihak digesa agar menghentikan isu ‘slow learner’ yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Presiden Persatuan Alumni Universiti Teknologi Mara (PAUiTM), Datuk Mohamad Zaini Hassan berkata, perkara tersebut telah selesai apabila Menteri Wilayah Persekutuan itu sendiri membuat permohonan maaf berhubung isu berkenaan.

“Saya minta pihak luar sana jangan lagi memainkan isu ini, biarlah kami sahaja 700,000 ahli alumni UiTM selesaikan masalah kami.

“Kami tidak mahu pihak luar yang tidak ada kaitan dengan kami menggunakan kesempatan ini untuk meraih kepentingan politik atas isu ini,” katanya pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Tengku Adnan di Menara Dato ‘Onn hari ini.

Terdahulu Tengku Adnan atau Kunan secara terbuka memohon maaf atas kenyataan yang membangkitkan kemarahan khususnya kepada warga UiTM.

Mohamad Zaini dalam pada itu berkata, beliau yakin kenyataan Kunan itu diputarbelitkan pihak tertentu.

Malah katanya, kenyataan itu turut disalahtafsirkan sehingga menimbulkan kemarahan kaum Melayu dan alumni UiTM.

“Bagi saya isu ini adalah satu putar belit yang diambil di luar konteks. Beliau bercakap dalam konteks yang begitu baik sebagai satu motivasi kepada pelajar tetapi telah diambil dalam konteks yang amat berbeza.

“Kita faham kerana saya sendiri pernah bekerja sebagai seorang wartawan dan saya pernah mengalami perkara ini apabila niat kita disalahertikan,” katanya. – MalaysiaGazette.