KUALA LUMPUR – Pengurusan aktiviti Malaysia Venture Capital Management Berhad (MAVCAP) didapati kurang memuaskan berdasarkan tiga aktiviti pelaburan melibatkan lapan bidang yang diaudit.

Laporan Ketua Audit Negara Pengurusan Syarikat Kerajaan Dan Agensi Kerajaan Persekutuan Tahun 2016 Siri 2 berkata, sehingga kini MAVCAP masih belum mencapai had optimum pembiayaan pelaburan dalam pasaran modal teroka negara.

Bagaimanapun, MAVCAP telah mencapai jumlah komitmen pelaburan melebihi peruntukan yang diterima iaitu sebanyak 118.1 peratus (RMKe-9), 119.9 peratus (RMKe-10) dan 167.8 peratus (RMKe-11).

Bagi RMKe-8 MAVCAP hanya mencapai 73 peratus komitmen dalam Pelaburan Langsung dan pelaburan OSP1 disebabkan kegagalan syarikat pelaburan dan syarikat dana mencapai sasaran bagi pengeluaran;

MAVCAP juga tidak mematuhi terma dan syarat asal penggunaan dana di bawah RMKe-10 yang menetapkan RM130 juta dana perlu digunakan untuk pembiayaan secara langsung modal teroka berkonsep Mudharabah dan sejumlah RM70 juta bagi pembiayaan secara tidak langsung modal teroka di peringkat ASEAN (OSP3).

Sebaliknya, MAVCAP telah melaburkan sejumlah RM193.88 juta dana yang diterima dalam pelaburan Modal Teroka Korporat dan OSP3 yang tidak berkonsepkan Mudharabah.

Dana tersebut telah membuat pelaburan dalam syarikat–syarikat tempatan di Malaysia dan juga ASEAN.

Perubahan struktur pelaburan ini tidak memperoleh sebarang kebenaran bertulis daripada Kementerian Kewangan terlebih dahulu.

Menurut laporan itu, antara tahun 2007 hingga bulan Jun 2017, MAVCAP hanya dapat melunaskan bayaran balik berjumlah RM337.29 juta daripada pinjaman RMKe-8 berjumlah RM450 juta yang sepatutnya diselesaikan pada tahun 2011.

Kegagalan MAVCAP membayar balik pinjaman mengikut jadual yang ditetapkan telah mengakibatkan agensi itu dibeban dengan amaun faedah lewat terkumpul berjumlah RM85.85 juta, menjadikan komitmen keseluruhan terhadap pinjaman termasuk faedah lewat meningkat kepada sejumlah RM198.56 juta

Sungguhpun KPI Kewangan MAVCAP iaitu penjualan pelaburan mencapai sasaran output yang ditetapkan, namun pendapatan pelaburan adalah tidak mencukupi untuk membayar balik pinjaman Kementerian Kewangan sehingga menyebabkan penstrukturan semula pinjaman dimohon.

Sehingga bulan Jun 2017, MAVCAP hanya memperoleh pulangan Pelaburan Langsung berjumlah RM148.58 juta daripada kos yang dilaburkan berjumlah RM372.42 juta menyebabkannya mengalami kerugian berjumlah RM223.84 juta.

Pelaburan melalui OSP1 dan OSP2 juga tidak memberi pulangan yang menguntungkan kepada MAVCAP di mana hanya sejumlah RM98.21 juta pulangan diperoleh hasil penjualan saham dan dividen berbanding kos pelaburan berjumlah RM215.84 juta.

Sebanyak empat syarikat yang mana MAVCAP mempunyai kepentingan sebagai rakan terhad (LP) tidak mempunyai kuasa dalam mengawal atau mengurus serta bertindak bagi pihak perkongsian kerana peranan MAVCAP adalah terhad dengan hanya menerima penyata kewangan beraudit, laporan/ulasan tahunan kewangan dan menghadiri mesyuarat tahunan bagi membincangkan kedudukan dan prestasi pelaburan.

Satu daripada empat perjanjian perkongsian sebagai LP tidak mempunyai syarat memperincikan kepentingan pelaburan di Malaysia dan perakuan cadangan bonus tahunan kakitangan yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah bagi tahun 2013, 2014 dan 2015 tidak dikemukakan kepada MKD untuk kelulusan. – MalaysiaGAzette