KUALA LUMPUR – Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak bersetuju dengan hasrat Pengerusi Ampersand Sports Sdn Bhd, Tan Sri Vincent Lee Fook Long menarik diri sekiranya beliau melepaskan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) berkata, setiap penaja perlu membantu bola sepak tanah air kerana ia perkara lebih penting berbanding dirinya.
“Saya faham mana-mana individu atau syarikat yang hendak menaja, mereka mahukan ‘financial security’ (keselamatan kewangan).
“Tetapi semua penaja perlu faham iaitu penajaan kepada bola sepak adalah demi kepentingan negara.
“Oleh itu, walaupun saya ada atau tidak, mereka patut teruskan sumbangan dan membantu bola sepak tanah air,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook rasmi FAM, hari ini.
Dalam sidang media di Johor Bahru semalam, Vincent Lee secara terbuka menyuarakan hasrat untuk menarik diri sebagai agensi yang memegang hak eksklusif mencari penajaan bagi saingan Liga Malaysia seandainya TMJ melepaskan jawatannya dalam badan induk itu.
Vincent Lee berkata, pembabitan syarikat berkenaan untuk membantu Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) adalah kerana yakin dengan kredibiliti dan visi TMJ yang bersungguh-sungguh mahu memajukan bola sepak tempatan.
Menerusi kenyataan sama, TMJ turut menegaskan beliau tidak mahu wujud sebarang sifat kroni dalam pengurusan bola sepak tempatan kerana ia adalah sukan milik rakyat.
Justeru, beliau berkata, semua pihak termasuk persatuan atau kelab serta penyokong perlu bersatu untuk membangunkan bola sepak tanah air dan pasukan kebangsaan bersama FAM.
“Saya tidak mahu FAM mengambil satu sen pun tetapi memberikan semua hak penyiaran kepada seluruh pasukan yang bertanding dalam negara.
“Jika kita berpecah dan suka bergaduh antara satu sama lain, bola sepak negara tidak akan ke mana. Percayalah, jika kita ada perpaduan dan bersatu, banyak perkara yang akan kita capai,” tambah TMJ. – MalaysiaGazette