Presiden Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin bercakap kepada media semasa membuat tinjauan ke tapak projek terbengkalai hampir empat bulan di bawah pentadbiran Menteri Besar Selangor di Jalan Melawati 3, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 21 NOVEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR yang dipecat, Badrul Hisham Shaharin hari ini mendesak agar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bertanggungjawab atas segala kegiatan korupsi yang berleluasa di negeri itu.

Badrul atau Chegubard berkata, sepanjang memegang jawatan itu, Azmin telah melahirkan beberapa jutawan muda yang dilihat mempunyai kekayaan luar biasa.

“Dia menggunakan slogan PEDULI RAKYAT mengaburi mata rakyat dalam meneruskan dan melindungi kemunafikan kegiatan jahat dia dan kartelnya.

“Simpati dirakamkan kepada ‘macai – macai’ parti dia di bawah yang bersusah payah bekerja untuk parti namun terus hidup susah sedangkan budak muda keliling Azmin muncul terus mewah tanpa bersusah payah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chegubard berkata demikian setelah tersebarnya berita anak saudara kepada Azmin telah direman selama tujuh hari dipercayai terlibat dalam melindungi kegiatan lombong pasir dan batu haram di Selangor.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ainna Sherina Saipolamin yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia untuk mereman keempat-empat lelaki itu.

Dalam pada itu, satu kenyataan daripada pejabat Menteri Besar Selangor mengesahkan penahanan salah seorang individu daripada empat lelaki yang direman berhubung dakwaan terbabit adalah anak saudara Azmin Ali.

Dakwa Chegubard, penangkapan itu adalah salah satu daripada banyak lagi kegiatan yang dilakukan anak saudara Azmin Ali sejak 2014.

“Dikatakan tangkapan kali ini hanya meneliti satu dari aspek banyak kegiatan korup menggunakan anak saudaranya ini, yang terbongkar baru satu iaitu melibatkan ‘lombong batu’ di Hulu Langat yang telah bermula sejak akhir 2014,” dakwa Chegubard.

Majistret Ainna Sherina Saipolamin hari ini membenarkan SPRM mereman empat lelaki berhubung dakwaan terlibat melindungi kegiatan lombong pasir dan batu haram di Selangor.

Menerusi penahanan itu, akaun bernilai RM4 juta milik syarikat terlibat turut dibekukan. -MalaysiaGazette.

http://malaysiagazette.com/blog/2017/11/30/pejabat-mb-sahkan-lelaki-ditahan-sprm-anak-saudara-azmin/