BUKAN mudah bagi seseorang mengambil keputusan menetap di negara asing terutama bagi rakyat Malaysia.

Lainlah jika mereka terpaksa lari dari negara yang bergolak dan berhijrah ke luar negara demi kelangsungan hidup.

Begitulah juga kepada bekas pekerja bank, Nurazimah Mohd. Karim yang kini menetap di Paris sejak Julai 2001 kerana berkahwin dengan suaminya warganegara Perancis, Nicolas Moulin.

Mengakui pada awalnya kekok dengan kehidupan di negara Eropah namun lama kelamaan wanita berusia 42 tahun itu sudah biasa dengan persekitaran Perancis.

 

Penulis bersama Nurazimah (kanan).

Malah apa yang menarik beliau tidak pernah lupa asal usul walaupun sudah ada tiga anak di negara orang.

Kini selain menjadi suri rumah dan membantu suaminya menguruskan homestay dan perkhidmatan pengangkutan, beliau cukup dikenali oleh rakyat Malaysia di Paris dengan menjual Nasi Ayam Paris.

Nasi Ayam Paris

Ibu kepada Adam Daniel Moulin,15, Ida Aili, 11, dan Jade Nur berusia tujuh tahun itu kini mengakui tak menang tangan menyiapkan tempahan.

Malah beliau juga membuat penghantaran juadah itu dari kediamannya di Drevail City ke ibukota Paris.

Nasi Ayam Paris yang disertakan madu dengan madu resipi sendiri Nurazimah.

“Saya buat bisnes ini (Nasi Ayam Paris) sejak datang sini. Masa itu untuk hidangan tetamu homestay sahaja dan kerana mendapat sambutan saya mula delivery pada tahun 2013,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan itu.

Menurut Nurazimah, resipi nasi ayam madu itu hasil ilhamnya sendiri selepas banyak kali mencubanya mengikut citarasanya sendiri.

Kini siapa sangka, Nasi Ayam Paris sudah terkenal di Paris dan kawasan sekitarnya terutama dalam kalangan rakyat Malaysia di Perancis.

Paling banyak, beliau menerima tempahan 55 bungkus sehari.

Antara selebriti yang sudah merasa dan memuji masakannya ialah Neelofa, Datin Paduka Eina Azman dan suami,penyanyi dan Abby Abadi.

Anak Nurazimah bersama Neelofa.

Menurutnya, bekalan ayam halal dan beras didapati dari premis kedai Arab di Paris.

Penyanyi Nurul (kiri) antara peminat Nasi Ayam Paris.
Pelakon Eina Azman juga pelanggan Nasi Ayam Paris.

Selain Nasi Ayam Paris, Nurazimah juga boleh dianggap sebagai selebriti media sosial melalui Instagramnya, light.km yang kini sudah mencecah 122,000 pengikut.

Melalui media sosial, Nurazimah menceritakan kehidupan keluarganya dan tugasnya menghantar bekalan nasi ayam kepada pembeli.

Penulis bersama anak Nurazimah, Adam Daniel.

Penulis bersama anak Nurazimah, Ida.
Penulis bersama anak ketiga Nurazimah, Jade.

Keletah dan kecomelan anak-anaknya terutama Ida dan Jade yang menguasai bahasa Melayu dan sedikit loghat Negeri Sembilan menjadikannya beliau dikenali termasuk di negara ini.

Beliau juga sering membuat kelakar dengan seolah-olah menjadi deejay radio juga menarik minat ramai menjadi pengikut media sosialnya.

Menurut Nurazimah, sikapnya yang ‘gila-gila’ dan happy go lucky itu menjadi penawar rindunya kepada Malaysia dengan berinteraksi dengan saudara dan kenalan dari Malaysia di media sosialnya.

Selain itu, anak-anaknya juga boleh sudah dianggap macam selebriti kerana setiap kali pulang ke Malaysia.

Ini kerana mereka menerima pelawaan menjadi model pakaian dan produk gara-gara wajah campuran mereka dan Nurazimah akan bertindak sebagai pengurus sekiranya diperlukan.

Satu lagi, katanya, walaupun duduk jauh diperantauan, beliau tidak sesekali berkompromi soal didikan agama Islam kepada anak-anaknya.

Penulis bersama anak Nurazimah, Ida (kanan) dan Jade.

“Jika dulu banyak masa free saya ajar anak-anak saya mengaji dan kini pakai ustaz online tetapi soal agama tetap dititikberatkan,” katanya.

Ida seperti contoh sudah serius memakai tudung merupakan hasil didikan Nurazimah selain memastikan anak-anaknya menghormati saudara mara, rakan-rakan dan tetamu yang hadir dikediamannya.

Sesiapa yang teringin menikmati Nasi Ayam Madu Paris sambil makan di kawasan Menara Eiffel boleh menghubunginya di  +33608484710.- MalaysiaGazette

Artikel sumbangan pembaca MalaysiaGazette, Sharillah Shamsudin.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast