SEREMBAN – Pementasan teater muzikal Pendeta Za’ba yang berlangsung di Auditorium D’Sury, Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Sembilan (JKKNNS), mendapat sambutan yang menggalakkan pada hari pertama persembahannya.

Menampilkan pelakon berpengalaman Datuk Ahmad Tarmimi Serigar yang membawa watak utama sebagai Za’ba, teater itu mengisahkan sejarah tokoh ilmuwan berkenaan sejak kecil hingga dianugerahkan gelaran pendeta.

Pendeta Za’ba arahan Lokman Ghani dan Zakaria Ariffin sebagai penulis skrip itu turut menampilkan Datuk Jalaluddin Hassan yang membawa watak Datuk Onn Ja’afar, selain dibantu seramai 40 orang artis budaya dan pemuzik gabungan Kumpulan Kesenian JKKNNS dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah.

Za’ba atau nama sebenarnya Zainal Abidin Ahmad merupakan anak jati Negeri Sembilan dan dilahirkan pada 16 Sept 1895, merupakan seorang sasterawan dan cendekiawan Melayu yang dihormati.

Beliau aktif dalam kegiatan penulisan termasuk penterjemahan, malah beliau juga antara pejuang untuk memerdekakan tanah air melalui mata penanya.

Teater muzikal itu berlangsung selama tiga hari dan tiket bagi menyaksikan pementasan ini berharga RM50 untuk sektor korporat, RM30 untuk orang awam dan RM10 untuk pelajar.

Tiket boleh didapati di Kompleks JKKNNS di Seremban atau hubungi talian 06-7676793 dan 06-7636308.MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast