KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki dalam keadaan hampir reput ditemui di dalam tandas terbengkalai di Bukit Keluang, Besut, Terengganu, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Md Sani Md Saleh berkata, pihaknya telah menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan mayat tersebut pada jam 4.21 petang.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan awal di lokasi tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri pada mayat, dan tiada unsur jenayah dikesan.
“Keadaan mayat yang mereput menunjukkan bahawa individu tersebut dipercayai telah meninggal dunia lebih daripada tujuh hari sebelum dijumpai,” katanya.
Siasatan awal juga mendapati mangsa merupakan seorang individu Orang Kurang Upaya (OKU) mental yang sering berada di kawasan tersebut setiap hari.
“Bagaimanapun, saksi awam memaklumkan bahawa mangsa tidak kelihatan sejak kira-kira seminggu lalu.
“Kami turut menemu bual seorang lelaki yang dipercayai abang kepada si mati, yang mengesahkan bahawa adiknya tidak pulang ke rumah lebih dari seminggu.
“Namun pihaknya tidak membuat sebarang laporan polis ,” jelasnya.
Mayat kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Besut untuk proses bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. – MalaysiaGazette
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast















