Najib Tun Razak. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM

KUALA LUMPUR – Syarikat senaraian awam (PLC) di negara ini mungkin tidak akan diberikan sebarang kontrak daripada kerajaan jika tidak melantik ahli lembaga pengarah wanita.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengulangi amaran itu bagi membolehkan negara mencapai sasaran 30 peratus wanita sebagai pembuat dasar.

“Saya telah memberi amaran bahawa dari tahun depan, kerajaan akan menamakan dan memalukan syarikat senarai awam (PLC) yang tidak mempunyai wanita sebagai ahli lembaga.

“Mereka mungkin, saya telah memberi amaran, tidak diberi kontrak kerajaan,” katanya dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Wanita dalam Politik Kuala Lumpur 2017 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Hadir sama Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Setiausaha Agung UMNO yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim dan Menteri Pendidikan, Datuk Madzhir Khalid.

Sehingga Jun lalu, sebanyak 17.9 peratus daripada ahli lembaga pengarah di 100 syarikat senaraian awam (PLC) utama di Bursa Malaysia adalah wanita.

Bagaimanapun, menurut Najib, peratusan itu masih rendah untuk mencapai sasaran 30 peratus penempatan wanita sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat senaraian awam menjelang 2020 seperti yang ditetapkan kerajaan pada 2011.

“Strategi ini untuk meningkatkan jumlah wanita di jawatan pengurusan tertinggi dan di papan syarikat adalah mengenai memperkuat keupayaan kami.

“Ia bukan sekadar isu jantina, dan tidak hanya memastikan budaya dan amalan kita tidak diskriminasi. Ia juga mengenai produktiviti,” katanya. -MalaysiaGazette.