Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob (tengah) dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (berdiri, lima kanan) bergambar kenangan bersama penerima-penerima bantuan beg sekolah pada Majlis Pelancaran Program 'Back to School' 2018 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 05 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas dakwaan bekas pemimpin Puteri UMNO mengenai ramai pasangan yang berkhalwat dan bersekedudukan dalam satu bilik sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) diadakan.

Menurutnya, dakwaan bekas Ahli Jawatankuasa Kerja Puteri UMNO Bahagian Klang, Wan Asshima Kamaruddin itu tidak ada bukti dan jelas sebagai tohmahan dan fitnah.

“Kalau tidak ada fakta, kita tidak boleh percaya (tuduhan) ini. Selepas keluar UMNO, baru nak cerita buruk. Jadi saya ingat tidak betul. Kecuali dia sendiri yang buat dan buktinya dia (yang lakukan) sebab itu dia tahu.

“Saya tidak pernah buat (tuduhan itu), jadi saya tidak tahu. Jadi mungkin dia (pernah) buat, jadi dia nak tunjuk contoh itu diri dia yang pernah buat (maksiat) agaknya,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Back To School YPM@KKLW di perkarangan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Wan Asshima kelmarin dalam mendakwa kes berkhalwat sering berlaku dalam kalangan ahli parti itu setiap kali berlangsungnya himpunan itu diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Malah pemimpin NGO pro Pas itu turut mahu Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) melakukan operasi pencegahan maksiat besar-besaran di hotel-hotel sekitar ibu kota sepanjang PAU berlangsung.

 

Ismail Sabri turut mempersoalkan mengapa Wan Asshima tidak melaporkan kepada kepimpinan tertinggi kejadian itu dan bertindak merahsiakan perkara itu.

“Macam mana dia boleh tahu, kecuali dia (yang) buat. Macam mana dia boleh tahu orang lain buat khalwat dan sebagainya.

“Saya rasa ini setelah dia keluar daripada UMNO, masuk parti lain baru nak bercerita pasal ini. Kalau dia betul-betul jujur waktu itu dia sudah bercakap dah. Dia sudah tegur kalau perkara ini berlaku.

“Selama ini saya tidak pernah dengar cerita ini pasal Puteri, Pemuda berkhalwat dan sebagainya. Saya jadi Ketua Pemuda lapan tahun, Exco Pemuda empat tahun, tidak pernah saya dengar cerita pasal ini,?” soal Ahli Parlimen Bera itu. -MalaysiaGazette.

http://malaysiagazette.com/blog/2017/12/04/ramai-berkhalwat-masa-pau-wan-asshima/

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast