Home Nasional 14 cedera kemalangan bas dan lori

14 cedera kemalangan bas dan lori

GOPENG – Seramai 12 penumpang dan seorang pemandu bas ekspres cedera selepas bas yang dinaiki terlibat dalam kemalangan dengan dua lori di Kilometer 294.7 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Gopeng, awal pagi hari ini.

Kejadian yang berlaku pada 5.30 pagi tadi melibatkan bas ekspres, lori kontena dan sebuah lori membawa muatan kertas, demikian menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) negeri.

Pemandu lori kontena juga mengalami kecederaan selepas didapati tersepit di tempat duduk.

Jurucakap itu memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.41 pagi sebelum pasukan penyelamat bergegas ke lokasi kejadian.

“Anggota bomba membawa keluar pemandu lori kontena yang tersepit dan mengalami kecederaan sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan,” katanya.

Sementara itu, menurut Twitter PLUS, kerja-kerja mengalihkan ketiga-tiga kenderaan masih dijalankan dan lorong kiri masih ditutup menyebabkan trafik bergerak perlahan sejauh tiga kilometer. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast