Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein serta barisan kepimpinan tertinggi UMNO bersama para perwakilan berdiri menyanyikan lagu Negaraku pada Majlis Taklimat Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC, Kuala Lumpur. foto SAFWAN MANSOR, 05 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Barisan kepimpinan UMNO perlu memberi perhatian khusus kepada isu yang dibangkitkan oleh perwakilan di negeri-negeri ‘jajahan’ parti pembangkang, kata penganalisis politik, Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib Khalid.

Oleh kerana Perhimpunan Agung UMNO (PAU) ke-71 adalah yang terakhir sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) maka Kartini berpendapat, menerusi isu-isu rakyat di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan akan memberikan kelebihan kepada parti mengatur gerakan yang proaktif.

“Usaha lebih kepada memperkukuh Umno dengan menghantar imej dan mesej jelas untuk semua parti politik di luar dan rakyat bahawa UMNO sebuah parti yang kukuh dengan personaliti pemimpin yang berwibawa.

“Negeri-negeri di bawah parti pembangkang atau pernah di bawah parti pembangkang seperti Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Perak, Kedah, Terengganu dan Sabah (suatu ketika), adalah negeri-negeri yang ada UMNO dan PAU harus memberi perhatian lebih kepada perwakilan daripada negeri-negeri ini untuk mengatur strategi pilihan raya dengan mendengar isu-isu yang dibangkit hasil pemerhatian sebagai indikator kepada strategi pilihan raya,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya, aspek ini tidak boleh dipandang remeh jika UMNO bertekad untuk merampas semula negeri-negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang.

Beliau dalam masa sama berpendirian bahawa UMNO menggunakan pentas PAU 2017 untuk terus meyakinkan ahli tentang ketokohan barisan pemimpin parti, Datuk Seri Najib Razak, dengan terus menunjukkan hubungan dalaman yang sentiasa kukuh bagi menyatu padukan kaum Melayu.

“Isu intra-etnik dalam PAU juga sentiasa muncul iaitu kritikan bahawa orang Melayu masih belum bersatu dan itu perlu diteruskan dengan cara tertentu.

“Melayu masih lagi berpecah bila berdepan dengan isu Melayu dan pembangunan, isu sosial yang membarah dalam msyrakat Melayu dan solidariti Melayu amat diperlukan untuk memperkukuh,” ujar Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast