KUALA LUMPUR – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Kedah, Datuk Saiful Hazizy Zainol Abidin secara sinis berkata parti ‘bunga’ yang kini berada di negeri itu adalah parti tidak matang kerana gagal menyusun kedudukan parti.
Bercakap ketika perbahasan ucapan Dasar Presiden, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Shaiful berkata kehadiran 12 orang perwakilan dalam parti itu menggambarkan ia semakin hilang kepercayaan ahlinya yang baru ditubuhkan itu.
“Di Kedah ni parti bunga.. mereka ni tak kuat pun, parti bunga ni parti kanyaq. Tahu tak apa kanyaq? Kalau bahasa org putih ia ‘premature’..
“Nak susun parti pun tak tentu hala.. nak cari pemimpin bahagian pun tak mampu, buat mesyuarat agung pun tak berjaya.. kehadiran 12 orang mesyuarat agung, ini memalukan.
“Baru-baru ini berapa ramai pemimpin bunga kedah keluar parti.. mereka belum apa-apa lagi mereka dah hilang percaya,” ucap beliau.
Parti bunga itu dipercayai merujuk kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Yan ditubuhkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dua tahun lalu.
Ujarnya lagi, parti itu dijangka tidak akan bertahan lama kerana ditubuhkan atas dasar kecewa dengan UMNO.
“Kita kenal, tahu orang parti bunga.. cuma kita ni jenis baik, tak buka keburukan orang. Tapi rasanya masa nak simpan cerita dah tamat, masa kita serang kita akan pastikan cerita-cerita songsang.
“Kita singkap satu demi satu.. ini bukan masa bertahan, kalau mereka boleh serang presiden pagi petang siang malam depan belakang, mereka perlu rasa musibah yang sama,” katanya lagi.
Pada 10 November lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) memberi kata dua kepada PPBM sama ada selesaikan segera masalah penggunaan istilah Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) atau tindakan diambil ke atas parti itu.
Menurut Ketua Pengarah yang baru dilantik, Surayati Ibrahim, kesalahan yang dilakukan oleh PPBM kerana menggunakan istilah Armada yang tidak terkandung dalam perlembagaan parti adalah berat dan boleh menyebabkan pertubuhan itu dibatalkan. -MalaysiaGazette.