Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar.

MELAKA – Polis Melaka menafikan penularan maklumat pagi ini kononnya bayi lelaki berusia dua bulan yang kritikal dipercayai akibat didera ibu dan bapanya Isnin lalu telah meninggal dunia.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar sebaliknya menegaskan, bayi berkenaan yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Kanak-Kanak (PICU) Hospital Melaka kini semakin baik sejak dimasukkan pada malam Isnin lalu.

“Dakwaan viral pagi ini kononnya mengatakan bayi tersebut telah meninggal dunia adalah palsu dan tidak betul, mangsa dah sedar dan boleh minum susu.

“Kemungkinan juga, bayi itu sudah boleh keluar PICU dan dipindahkan ke wad biasa hari ini, namun semuanya bergantung kepada laporan doktor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan penutupan Majlis Tamat Kursus Asas Unit Tempur Ringan (LSF) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka Siri 1/2025 yang disertai 78 anggota bermula 21 April lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, di sini hari ini.

Demonstrasi insiden rusuhan dileraikan anggota LSF selepas Majlis Tamat Kursus Asas Unit Tempur Ringan (LSF) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka Siri 1/2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, Bukit Beruang, hari ini.

Mengulas lanjut, Dzulkhairi menasihati masyarakat supaya mengambil sifat tanggungjawab untuk tidak menyebarkan berita palsu yang boleh menggangu siasatan dan perasaan waris mangsa.

“Setakat ini siasatan awal kita syak ibu bapa (sahaja) terlibat dan pasangan muda berusia 22 tahun ini pun baru sahaja berkahwin serta dikurniakan anak tunggal.

“Siasatan kes juga sudah hampir lengkap kita akan rujuk  Timbalan Pendakwa Raya mungkin dalam sehari dua ini,” katanya.

Rabu lalu media melaporkan Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka membenarkan ibu bapa bayi berkenaan direman tujuh hari sehingga 13 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar

Anak tunggal pasangan itu parah akibat pendarahan dalam kepala, luka dan lebam disyaki didera kedua ibu bapanya yang tidak bekerja.

Sumber berkata, bayi dua bulan berkenaan dipercayai didera dengan cara dadanya ditumbuk, selain badan dihempas ke lantai kerana kerap menangis.

Kejadian terbongkar selepas ibu mangsa berusia 22 tahun menghantar anaknya itu ke Hospital Alor Gajah dalam keadaan tidak sedarkan diri kononnya diserang sawan.

Mangsa bagaimanapun terpaksa dirujuk ke Hospital Melaka dan hasil imbasan CT yang dilakukan doktor pakar mendapati kesan lebam, luka di badan dan leher serta pendarahan lama dan baru dalam kepala bayi terbabit.

Doktor kemudian membuat laporan polis kerana mengesyaki mangsa didera sebelum polis menahan kedua-dua suspek di Hospital Melaka, Selasa lalu. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast