Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan ucapan dasar pada Perasmian Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 07 DISEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak sekali lagi menegaskan UMNO bukan anti kaum Cina.

Presiden UMNO dan Perdana Menteri itu juga menegaskan UMNO juga bukan parti bersifat perkauman.

Segala persepsi tersebut hanya disebarkan oleh pembangkang untuk memberikan imej buruk kepada UMNO.

“Saya ulang, UMNO bukan anti kaum Cina tetapi ternyata kaum Cina dan sebahagian juga kaum India turut terseret, terperangkap menjadi mangsa persepsi dan pembohongan pembangkang.

“UMNO sebetulnya kita selama ini meraikan kepelbagaian dalam negara dan kita percaya kepada keharmonian untuk hidup rukun bersama, saling bergantung dan lengkap melengkapi,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU2017) di PWTC di sini sebentar tadi.

Jelas Najib, perang persepsi dimulakan pada PRU-13 dengan pelbagai certa dan berita palsu seperti cerita bohong 40,000 pengundi hantu diimport dari Bangladesh.

Tidak cukup dengan itu, Najib berkata, pembangkang turut menambah lagi dengan tuduhan kononnya dakwat kekal yang digunakan ketika PRU-13 lalu mudah luntur dan boleh pula dikikis.

“Malah, pada pagi PRU -13 itu, sekitar hampir jam 4 pagi, ada seorang pemimpin pembangkang telah menyebar maklumat yang menipu rakyat bahawa, pihak mereka telah pun menang pilihanraya.

“Macamana dia kata dah menang? Pilihanraya pun belum bermula lagi pagi itu. Bak kata oghang Perak nampak benor menipunya.

“Inilah dia modus operandi pembangkang. Kalau tak percaya, tengoklah PRU-14 nanti, mereka akan terus berbohong lagi, macam-macam isu bakal mereka timbulkan, bahkan akan bertindak lebih agresif, lebih cunning, semata-mata untuk meraih sokongan rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette