Sindiket sewa kondo mahal semata mata operasi tipu kerja dalam talian di ibu negara tumpas semalam.Ihsan IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket terlibat jenayah penipuan tawaran kerja dalam talian yang pusat panggilannya beroperasi di sebuah unit kondominium mewah di ibu negara semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya bertindak atas maklumat risikan  telah membuat serbuan di dua unit kediaman kondominium mewah yang terletak di Jalan Ceylon, Bukit Bintang pada waktu malam.

“Hasil serbuan ini, pihak polis telah menahan 13 individu yang terdiri daripada 11 lelaki dan dua wanita warga asing berumur lingkungan 23 hingga 38 tahun.

“Pemeriksaan lanjut pasukan serbuan juga berjaya membuat rampasan tujuh set komputer riba, 21 unit telefon bimbit dan seunit modem disyaki digunakan geng sindiket itu untuk melakukan kegiatan penipuan itu,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Noor Delhan, hasil siasatan awal mendapati sindiket berkenaan telah beroperasi selama hampir sebulan dan menyasarkan mangsa dari United Kingdom dan China.

“Kesemua tangkapan itu berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan dan menyewa kondominium mewah pada kadar sewa sehingga RM7,000 sebulan bagi menggerakkan operasi kegiatan memancing mangsa.

“Selain itu semakan lanjut juga mendapati mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau,” katanya.

Kesemua individu itu kini direman selama tiga hari mulai 22 hingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan lanjut polis di bawah Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan kerana menipu. – MalaysiaGazette