KUALA LUMPUR – Keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel hanya akan merumitkan konflik di antara Palestin dengan Israel, kata Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Abdul Halim Sidek.
Ujarnya beliau, negara itu menerusi Presidennya, Donald Trump sepatutnya mengambil tindakan berkecuali agar memudahkan usaha perundingan dan perdamaian kedua-dua pihak.
“Kita kutuk kerana Amerika campur tangan terhadap negara Palestin sepatutnya ini urusan Israel. Ia idak sehaluan proses keamanan yang dimahukan oleh semua pihak di rantau Timur Tengah terutama yang berjiran dengan Palestin dan Israel. Ini tamparan hebat kepada negara Islam.
“Sedangkan Malaysia tidak pernah campur tangan ini Amerika terus mengiktiraf,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Abdul Halim juga menyifatkan tindakan Trump itu hanya akan mencetuskan huru-hara kerana ia memburukkan lagi kemarahan rakyat Palestin dan akhirnya nanti penyelesaian akan menemui jalan buntu.
“Negara berjiran semua mahukan tindakan perundingan dijalankan justeru pengiktirafan Trump terhadap Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel akan menaikkan perasaan marah dan kebencian dalam kalangan masyarakat di Palestin,” ujar Abdul Halim.
Walaubagaimanapun, beliau menegaskan kerjasama yang dijalankan di antara Malaysia dengan AS khususnya perihal usaha memerangi keganasan tidak boleh dikaitkan dengan kritikan yang dibuat oleh negara.
Katanya, ini kerana memerangi pengganas adalah isu global yang berbeza dengan isu pertikaian berpanjangan Palestin dan Israel.
“Isu berbeza kita menangani keganasan global. Itu lain.
“Kerjasama menentang keganasan di peringkat global itu kerjasama menyeluruh antara negara-negara yang mahukan keamanan dunia. Itu isu universal.
“Antaranya kita bekerjasama dengan Amerika untuk menangani isu pengganas dan pengganas ini yang boleh mengugat keamanan Malaysia dan negara Islam lain,” katanya.
Dilaporkan baru-baru ini Presiden AS mahu membuat pengumuman pemindahan Kedutaan AS di Israel ke Baitulmaqdis namun bertindak menangguhkannya. -MalaysiaGazette