PARIS – Seperti dijangka, pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo memenangi anugerah berprestij Ballon d’Or buat kali kelima sekaligus mencipta sejarah baharu dalam kariernya.
Kemenangan itu membolehkan bintang Real Madrid itu menyamai pencapaian seteru utamanya dari Barcelona, Lionel Messi yang pernah menjulang gelaran itu sebanyak lima kali.
Sebelum ini, Ronaldo memenanginya trofi itu sebanyak empat kali iaitu pada 2008, 2013, 2014 dan 2016.
Dia turut dipilih pemenang anugerah Pemain Terbaik FIFA di London dua bulan lalu.
Messi sekadar berada di tempat kedua manakala Neymar dari Brazil ketiga.
Ronaldo, 32, menerima trofi berprestij itu dalam satu majlis yang diadakan di Menara Eiffel, Paris awal pagi tadi.
Kejayaan Ronaldo itu hadir selepas dia muncul penjaring terbanyak Liga Juara-Juara yang menyaksikan kelabnya menewaskan Juventus pada final.
Bintang Portugal itu juga mengetuai kelab gergasi Sepanyol itu memenangi kejuaraan La Liga pertama dalam tempoh lima tahun.
Dia menjaringkan 42 gol dalam semua pertandingan untuk Real musim lalu selain meledak 15 gol buat pasukan kebangsaannya sepanjang kelayakan Piala Dunia 2018. – MalaysiaGazette