Datuk Ahmad Jazlan Yaakub

KUALA LUMPUR – Biar pun telah lama dipimpin oleh pembangkang namun negeri Kelantan tidak pernah dianaktirikan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut Ketua UMNO Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, ia boleh ditafsirkan dengan bantuan tanpa henti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak setiap kali pembentangan bajet negara.

“Ada orang tanya apa gunanya bela Kelantan? Tapi ia berlainan dengan sifat Presiden UMNO. Terima kasih setiap kali bajet ada sahaja peruntukan buat negeri saya.

“Ternyata presiden tidak meninggalkan Kelantan di belakang. Malah telah menunjukkan satu sikap keterbukaan seorang pemimpin yang berjiwa besar,” katanya ketika membahaskan Ucapan Dasar Presiden UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra  hari ini.

Dalam perbentangan Bajet 2018 lalu, Najib telah memperuntukkan RM2 bilion untuk bantuan pinjaman mudah dan RM500 juta bagi membantu membangunkan infrastruktur serta penghasilan produk-produk pelancongan di Kelantan.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, ekoran keprihatinan tidak berbelah bahagi presiden terhadap Kelantan, ia dibuktikan dengan peningkatan jumlah kerusi BN di negeri itu.

“Selepas PRU-12, Kelantan mempunyai dua kerusi parlimen dan enam DUN. Namun pada PRU-14, Kelantan telah sumbang sembilan kerusi parlimen dan 12 kerusi DUN.

“Kalau inilah sikap positif rakyat Kelantan kita yakin Kelantan akan jadi milik BN,” katanya lagi. -MalaysiaGazette.