Home Nasional 15 klinik terjejas akibat banjir diganti baharu

15 klinik terjejas akibat banjir diganti baharu

KOTA BHARU – Sebanyak 15 klinik desa dan kesihatan akan dibina bagi menggantikan klinik yang terjejas akibat banjir di beberapa daerah di sini, kata Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir.

Jelasnya, lapan daripada jumlah itu akan dibina dalam masa terdekat dan bakal mementingkan aspek pembinaan bangunan tinggi atau dipindahkan bagi mengelakkan ditenggelami air.

“Selain itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, sebuah Klinik Kesihatan Rantau Panjang yang baharu kini dalam pembinaan di Kampung Gual Tinggi bagi menggantikan klinik itu yang sering terjejas akibat banjir setiap tahun dengan kos kira-kira RM30 juta.

“Dalam tempoh gelombang pertama banjir baru-baru ini, dua premis kesihatan terjejas iaitu Klinik Kesihatan Rantau Panjang dan Klinik Desa Kampung Simpangan, Tumpat,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Program Gotong-royong Mega Bersepadu Perangi Aedes peringkat Kelantan di Sekolah Kebangsaan Tengku Indera Petra.

Katanya, antara klinik yang dibina dalam masa terdekat ialah Klinik Kesihatan Kampung Bahagia di Kuala Krai; Klinik Desa Mata Air dan Kampung Joh (Machang); Klinik Sungai Keladi, Kota Bharu; Klinik Limau Kasturi, Gua Musang; Klinik Kampung Kerilla dan Sokor di Tanah Merah serta Klinik Desa Kampung Teluk Jering di Tumpat. – MalaysiaGazette