Ucapan penggulungan Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 09 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wanita UMNO menggariskan empat tunjang utama bagi Barisan Nasional (BN) untuk terus menerajui Putrajaya.

Ketua Pergerakannya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata, keberanian ahli UMNO dalam politik bukan diukur pada panjang pedangnya namun bagaimana seseorang itu menghunus senjata itu kepada pihak lawan.

“Janganlah kita takut kepada apa pun kekuatan lawan dan percayalah pada pedang yang kita miliki.

“Kerana itu dalam peperangan politik, apabila parti kita diasak keberanianlah yang menjadi pedangnya. Jangan pula antara kita yang menjadi pedang menikam parti sendiri,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2017) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Kedua, menurut Shahrizat adalah perisai kesetiaan yang tiada tolok bandingnya kepada kepimpinan tertinggi dan parti.

Jelasnya, wanita akan tetap berada di sisi Presiden UMNO kerana sememangnya kedudukan wanita adalah salah satu tunjang kekuatan parti itu.

“Setia wanita tidak bertepi, percaya wanita tidak terbagi, sokongan wanita tidak akan terhenti, teruskanlah memimpin kami, kibarkanlah panji aspirasi, pandulah transformasi yang telah dijanjikan,” katanya lagi.

Malah Shahrizat turut mengemukakan tunjang ketiga yang harus ada kepada ahli UMNO dalam mendepani cabaran PRU-14 kelak.

“Tunjang ketiga adalah bahtera satria. Satu bahtera hanya ada satu nakhoda. Ikut arahan, kita bertuah kepada punyai nakhoda yang tenang dan bijak mengemudi parti.

“Ingat selagi belum menang, layar bahtera tidak akan dilabuh, makin kuat angin fitnah bertiup, makin tinggi layar kebenaran akan dikibarkan,” kata beliau dihadapkan 2,718 perwakilan UMNO.

Mengakhiri ucapan penggulungan, Shahrizat berkata, strategi perang yang paling berkesan adalah keikhlasan ahli dam pemimpin berkhidmat kepada rakyat. -MalaysiaGazettte.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast