Home PAU 2017 Majlis Tindakan Sara Hidup Negara ditubuhkan

Majlis Tindakan Sara Hidup Negara ditubuhkan

Ucapan penggulungan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 09 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Atas rasa prihatin terhadap bebanan yang ditanggung rakyat negara ini atas kenaikan kos sara hidup, kerajaan Barisan Nasional (BN) hari ini mengumumkan penubuhan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara.

Perkara itu diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Menurut beliau, ia atas arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017) hari ini.

“Presiden UMNO telah bersetuju untuk kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara sebagaimana yang dicadangkan.

“Malah, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kos Sara Hidup bukan sahaja bersetuju, malah mengarahkan saya supaya setiap faktor yang menyumbang kepada inflasi seperti perumahan, pengangkutan, utiliti, dan sudah tentu makanan dan minuman akan diberikan fokus dalam perbincangan majlis berkenaan,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan PAU2017 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Ia adalah cetusan idea wakil Pemuda UMNO Tenom, Jamawi Jaafar yang mencadangkan agar kerajaan menubuhkan majlis itu pada bahas perwakilan semalam.

KPDNKK dalam pada itu berjanji akan mempergiatkan penguatkuasaan dan memastikan tindakan tegas diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan.

“Kementerian saya akan meminda bagi memperkukuhkan Akta Kawalan harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Akan kita tambah elemen-elemen yang membolehkan kita memerangi mereka yang melakukan kesalahan dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya,” jelas Hamzah lagi. -MalaysiaGazette.