Muhammad Amsyar Muhammad Illyas

KUALA LUMPUR – Muhammad Amsyar Muhammad Illyas yang memerlukan RM350,000.00 untuk membuat pemindahan hati di China pada Januari depan mendapat perhatian Pemuda UMNO Malaysia.

Menurut ketuanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, bayi berusia satu tahun itu menderita penyakit kegagalan fungsi hati sejak berumur dua bulan.

“Saya ingin membuat rayuan kepada rakan media untuk menyebarkan bagi membantu adik Amsyar mengumpul dana yang diperlukan untuk pembedahan pemindahan hati di sebuah hospital di China.

“Setakat ini, dana yang terkumpul ialah sebanyak RM128,000, dan sekiranya tidak dapat bukan sahaja menjejaskan kesihatan tetapi mengancam nyawa adik ini,” katanya pada sidang media khas, di PWTC, pada Sabtu.

Khairy telah membawa Amsyar dan ibu bapanya iaitu Norazlinah Abd Aziz, 35, dan Muhammad Illyas Isa,32, ke sidang media khas itu ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2017 sedang berlangsung.

Menurut Khairy, Pemuda UMNO terpanggil untuk membantu Amsyar kerana ia adalah masalah kesihatan yang kronik dan perlu mendapatkan rawatan di luar negara.

“Ini adalah kes terpencil, kebanyakannya kita dapat buat di hospital kerajaan, tapi ini tidak dapat kerana sangat kronik dan melibatkan pemindahan hati.

“Jadi janganlah timbul isu kenapa tidak dilaksanakan di dalam negara, seperti yang saya katakan ia kes jarang-jarang didapati di negara ini, malah PPUM yang merawat adik ini mengesyorkan untuk mendapatkan rawatan di China,” ujarnya yang turut memberi sumbangan peribadi RM20,000 kepada Amsyar.

Khairy Jamaluddin mendukung adik Muhammad Amsyar,1 sambil diperhatikan oleh ibunya Norazlinah Abdul Aziz,35 (kiri) pada Sidang Media berkenaan Tabung Dana Adik Amsyar di Laman Media, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 09 DISEMBER 2017Orang ramai boleh memberi sumbangan kepada Amsyar menerusi akaun Maybank milik ibunya Norazlinah Abd Aziz, 505028613765.

“Kita menggunakan kesempatan pada PAU ini untuk kumpulkan seberapa banyak dana. Saya akan minta Pemuda UMNO  membawa tabung ke tempat orang ramai untuk mendapatkan sumbangan.

“Saya harap ehsan rakyat Malaysia dapat meyumbangkan berapa sahaja walaupun sekecil mana pun nilainya, saya yakin ia amat berharga dan bermakna kepada keluarga Amsyar.”

Sementara itu Norazlinah mengucapkan terima kasih kepada Khairy dan UMNO kerana prihatin dan sudi membantu tentang masalah kesihatan anak keempatnya itu.

Beliau yang turut rasa terharu sangat mengalu-alukan sumbangan rakyat Malaysia bagi membolehkan anaknya sembuh dan kembali ceria sebagaimana kanak-kanak lain membesar.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast