KUALA LUMPUR – UMNO tidak akan sekali-kali mengizinkan air mata Raja-Raja Melayu mengalirkan air mata kerana kebiadapan pembangkang.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan, parti itu akan terus mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu agar tidak dihina oleh pihak-pihak tertentu.
“Mereka heret rakyat jelata untuk tidak lagi menghormati Raja-Raja yang menjadi lambang demokrasi Raja Berperlembagaan di negara ini. Mereka tolak prinsip taat setia kepada Raja seperti di sebut dalam Rukun Negara.
“Hari ini, kita orang-orang UMNO yang berhimpun di Dewan Merdeka sekali lagi berjanji, akan terus mempertahankan Institusi BerRaja di negara ini. Tidak akan izinkan air mata Tuanku mengalir lagi,” kata Hishammuddin ketika membuat ucapan penggulungan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC hari ini.
Dalam pada itu, Hishamuddin menyeru agar ahli UMNO menyatukan iltizam dan membulatkan tekad untuk menawan kubu-kubu musuh pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Katanya, matlamat UMNO seterusnya adalah untuk menang dalam perang PRU-14.
“Marilah kita satukan iltizam dan bulatkan tekad, Boleh? Boleh kita gempur dan tawan kubu-kubu musuh? Kita serang mereka! Boleh? Kita ranapkan Pakatan Harapan DAP!
“Bangun dan bangkitlah tuan-tuan dan puan-puan orang UMNO! Bersatulah seolah-olah kita tidak pernah bersatu sebelum ini. Kukuhkan solidariti, rapatkan barisan, eratkan perpaduan,” kata Hishammuddin. – MalaysiaGazette