Ucapan penggulungan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 ke 71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 09 DISEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Calon yang akan dipilih dalam PRU-14 perlu menepati citarasa zaman semasa kerana pengundi kini tidak lagi memandang kepada lambang, kata Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Khairy berkata, peredaran zaman menyaksikan corak pemikiran pengundi juga berubah dan calon yang diletak mestilah mempunyai kepelbagaian.

“Zaman letak songkok, songkok menang sudah lama lalu. Sekarang ini calon itu manifestasi kepada presiden dan parti.

“Kita perlu kepelbagaian dalam calon ini supaya parti dilihat kontemporari. Kepelbagaiaan itu bermaksud ada yang dari golongan senior tetapi tambah lah calon-calon wanita, calon-calon muda malah calon-calon yang mungkin tidak datang dari hieraki parti.

“Biarlah parti kita dilihat segar dan kontemporari! Setuju Wanita, Setuju Puteri, Setuju Pemuda! Ini baru ucapan kamikaze Tariq ibn Ziyad,” kata beliau semasa menggulung ucapan Pemuda di Perhimpunan Agung UMNO 2017 di PWTC hari ini.

Bagaimanapun, Khairy menjelaskan, calon senior juga masih diperlukan bagi membimbing calon yang lebih junior untuk berdepan pilihan raya nanti.

“Tetapi ini tidak bermakna kita mahu semua. Yang senior tetap dihadapan, berganding bahu menerajui kita,” ujarnya.

Beliau juga menyerah kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan dan berikrar untuk patuh demi memastikan kemenangan parti tersebut.

“Namun apa pun ini semua keputusan presiden. Pemuda berikrar apa sahaja keputusan Datuk Seri, kami akan akur sepenuhnya. Kerana yang penting akhirnya bukan kita, tetapi kemengangan parti keramat UMNO dan Barisan Nasional,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast