KUALA LUMPUR – Malaysia meletak sasaran ke separuh akhir pada Kejohanan Bolasepak Buta Asia Persekutuan Sukan Orang Buta Antarabangsa (IBSA) yang bermula 12 hingga 17 Disember ini.
Jurulatih pasukan Malaysia, Shalesh Manickavasagam berkata, sasaran itu realistik dalam usaha mengurangkan tekanan kepada pemain, apatah lagi turun beraksi sebagai tuan rumah.
Beliau berkata, halangan utama ketika kini adalah menjadi dua pasukan terbaik dalam kumpulan terlebih dahulu.
“Pasukan negara sudah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal. Walaupun kami gagal mempertahankan pingat emas Sukan Para ASEAN pada September, pencapaian meraih gangsa tetap membanggakan.
“Jadi kami mahu merebut satu daripada empat slot untuk layak ke Kejohanan Bolasepak Buta Dunia tahun depan di Sepanyol biarpun akan berdepan pasukan yang memiliki ranking yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media kejohanan itu di sini hari ini.
Selepas sidang media, majlis pembukaan kejohanan disempurnakan oleh Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail.
Selain Malaysia sebagai tuan rumah, Kejohanan Bolasepak Buta Asia menampilkan pasukan China, Iran, Korea, Thailand dan Jepun.
Ia membabitkan formasi pertandingan dua kumpulan dan Malaysia berada dalam kumpulan B bersama Korea Selatan dan Iran.
Dua pasukan kumpulan akan layak menjadi wakil Asia untuk bersaing pada Kejohanan Bolasepak Buta di Madrid, Sepanyol tahun depan.
Penaja utama kejohanan yang akan berlangsung di Stadium Hoki Jalan Duta itu adalah Hospital Mata Kebangsaan Tun Hussein Onn.
Mengulas lanjut, Shalesh berkata, anak buahnya kini bebas daripada kecederaan berbanding Sukan Para ASEAN yang tempang ketika itu.
Namun jelasnya, hasil kerjasama dengan MSN, proses pemulihan menjadi lebih cepat dan kembali sembuh untuk beraksi.
Dalam pada itu, Malaysia kini berada di kedudukan kelima selepas China, Korea Selatan, Iran dan Jepun manakala Thailand di tempat keenam. – MalaysiaGazette