KUALA LUMPUR – Bermula 14 Disember ini Pejabat Pesuruhjaya Sukan Malaysia akan memuat naik senarai acara sukan yang telah diberikan kebenaran untuk diadakan di laman web Kementerian Belia dan Sukan atau www.kbs.gov.my.

Ia susulan kemalangan yang melibatkan tiga pelari Marathon Antarabangsa Bandar Klang yang telah dilanggar oleh sebuah kenderaan, semalam.

Menurut Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman, pengajur acara tersebut tidak memohon lesen penganjuran daripada Pesuruhjaya Sukan Malaysia.

Dengan itu, tindakan undang-undang akan diambil ke atas penganjur acara marathon tersebut.

“Perkara ini amatlah kami sesali kerana sebarang penganjuran acara sukan perlu mendapat kebenaran daripada Pesuruhjaya Sukan, sebagaimana termaktub dalam Seksyen 36 Akta Pembangunan Sukan 1997.

“Penganjur juga perlu mendapat kebenaran dari polis, pihak berkuasa tempatan dan sebagainya.

“Perkara ini adalah diwajibkan bagi memastikan pengajur yang akan menganjurkan acara sukan benar-benar berkemampuan dari aspek kewangan, teknikal serta mematuhi kaedah dan garis panduan yang ditetapkan oleh badan pengelola sukan peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam satu kejadian awal pagi semalam, tiga orang pelari Marathon Antarabangsa Bandar Klang telah dilanggar oleh sebuah kenderaan.

Salah seorang daripada mereka masih lagi berada di dalam keadaan kritikal akibat pendarahan otak.- MalaysiaGazette