Home Politik Dialog BN, CPC sentuh tentang TN50, pelan induk bukan tentang ideologi

Dialog BN, CPC sentuh tentang TN50, pelan induk bukan tentang ideologi

KUALA LUMPUR – Perjumpaan secara tertutup Barisan Nasional (BN) dan Parti Komunis China (CPC) baru-baru ini tidak menyentuh perihal ideologi, sebaliknya hanya proses bertukar pandangan di antara dua pemerintah negara.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan demikian bagi menjelaskan gambar-gambar menunjukkan perjumpaan tertutup tidak rasmi antara BN dan CPC di Hotel Istana pada 7 Disember semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU2017) berlangsung.

Jelas beliau, program Transformasi Nasional 2050 (TN50) turut menjadi bualan kedua-dua parti selain pelan induk negara.

“Sesi perjumpaan ini diadakan bertujuan bagi bertukar pandangan antara dua parti pemerintah bagi negara masing-masing.

“Beberapa perkara telah disentuh antaranya tentang Blueprint 30 tahun CPC, program Transformasi Nasional 2050 (TN50) bagi mencapai kedudukan 20 negara terbaik dunia, pelaksanaan inisiatif ‘One Belt One Road’ (OBOR) serta keunikan BN sebagai parti politik ‘multi-racial’ yang telah berjaya membentuk Malaysia semenjak kemerdekaan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Dalam perjumpaan tersebut, BN diwakili Setiausaha Kerjanya, Datuk Seri Abu Khamis bersama pemimpin parti komponen BN yang lain manakala delegasi CPC pula diketuai oleh Ketua Biro Terjemahan CPC iaitu Profesor Dr. Jia Gaojian.

“CPC merupakan salah sebuah parti politik dari negara luar yang telah dijemput bagi menghadiri majlis perasmian dan Ucapan Dasar Presiden UMNO bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2017 (PAU 2017).

“Secara keseluruhannya, sebanyak 20 buah parti dari 16 buah negara telah dijemput bagi menghadiri PAU 2017,” ujarnya.

Adnan berkata, hubungan yang telah dijalinkan semenjak 1974 semasa pentadbiran ayah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak merupakan pemangkin hubungan BN dengan CPC yang dijemput menghadiri PAU.

“Jemputan kepada parti politik negara luar ke PAU bukanlah perkara baru sebaliknya telah dibuat saban tahun. Jemputan kepada parti politik luar ketika PAU2017 adalah atas kapasiti mereka sebagai parti pemerintah bagi negara masing-masing kecuali bagi negara Indonesia (5 buah parti), Palestin (2 buah parti), Thailand, Filipina dan Parlimen Eropah.

“Dialog antara BN atau mana-mana parti komponen BN dengan parti politik dari negara luar bukanlah perkara asing sepanjang PAU berlangsung. Selain daripada dialog antara BN dan CPC, dialog serta pertemuan secara tertutup dengan parti-parti lain juga telah beberapa kali dijalankan ketika PAU 2017 ataupun ketika PAU pada tahun-tahun sebelum ini,” tambahnya.

Pertemuan kedua-dua pihak bukan sahaja viral di laman sosial malah ia diambil kesempatan oleh pihak tertentu dengan menuduh BN dipengaruh ideologi komunis. -MalaysiaGazette