Home Utama Kru kabin perlu dipertimbang undi awal

Kru kabin perlu dipertimbang undi awal

nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) mahu undi awal dilaksanakan untuk pekerja kru kabin dan kakitangan lain yang bekerja dalam syarikat penerbangan pada pilihan raya umum nanti.

Kesatuan itu berkata, cadangan tersebut pernah dikemukakan kepada kerajaan tujuh tahun lalu tetapi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menolaknya dengan alasan ia tidak boleh berbuat demikian untuk syarikat penerbangan.

“Jadi ini diteruskan, bagaimankah beribu-ribu pekerja di syarikat penerbangan hendak mengundi?

“Bayangkan ada pekerja yang tidak pernah mengundi atas sebab jadual mereka yang ketat. Adakah golongan ini telah hilang kelayakan untuk mengundi? Sedangkan di negara lain, syarikat penerbangan memberikan time-off kepada pekerjanya untuk mengundi,” kata NUFAM dalam kenyataan di sini.

Kesatuan itu mengulas kenyataan SPR yang memaklumkan pekerja tidak boleh dihalang oleh mana-mana majikan untuk mengundi.

NUFAM tidak menafikan kesukaran kakitangan kabin untuk mengundi kerana operasi penerbangan berlangsung selama 24 jam dan sukar untuk mereka mengundi.

“Jadi beri mereka (kakitangan kabin) time off atau undi awal”.

“Namun jika mereka ini tidak diberi peluang, SPR seolah-olah gagal untuk melaksanakan proses saksama buat pengundi.

NUFAM turut mencadangkan pekerja yang bekerja pada waktu syif juga harus diberikan pelepasan untuk mengundi, selain undi awal.

Melihat kepada rekod dan jadual pekerjaan kru kabin selama ini, lebih kurang 70 peratus pekerja ini tidak dapat mengundi atas sebab jadual penerbangan yang ketat.

Katanya, SPR boleh mendapat kepastian daripada syarikat-syarikat penerbangan sendiri mengenai angka pekerja yang boleh dilepaskan untuk keluar mengundi.

Malah, NUFAM telah pun memberikan statistik tersebut kepada pihak SPR. – MalaysiaGazette