Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah hadir bagi penyerahan dokumen penting berkaitan skandal THE MALAYSIAN INSIGHT dan Asian Insight Pte Ltd syarikat luar negara berkaitan dana asing di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 15 DISEMBER 2017

PUTRAJAYA – Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah tampil membuat laporan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung transaksi kewangan hampir RM3 juta yang didakwa diterima portal The Malaysian Insight sepanjang tahun ini.

Beliau turut mengemukakan bukti-bukti yang didakwanya sebagai dokumen transaksi kewangan dan menggesa SPRM bertindak melakukan siasatan terhadap isu tersebut.

Katanya, semua maklumat itu diperolehi menerusi portal JMM, My Aduan Rasuah yang dipercayai didedahkan oleh orang dalam portal itu.

“Kebanyakan bisnes guna cek, inbois dan ada struktur pembayaran. Jadi portal itu kena jelaskan bayar untuk apa, gambar, baju atau operasi pejabat.

“Sebab itu JMM datang dengan bukti dan dokumen serta buat laporan. Kami beri masa untuk SPRM untuk teliti dan siasat.

Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Datuk Azwanddin Hamzah menunjukkan dokumen penting yang akan diserahkan kepada SPRM berkaitan skandal THE MALAYSIAN INSIGHT dan Asian Insight Pte Ltd syarikat luar negara berkaitan dana asing di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 15 DISEMBER 2017

“Bukan setakat siasat pengarah tapi semua wartawannya sekali,” katanya kepada media di Ibu Pejabat SPRM selepas membuat laporan tersebut.

Menurut Azwanddin, transaksi wang secara tunai itu menerusi dalam talian adalah meragukan kerana tidak melibatkan inbois dan cek seperti kebiasaan syarikat lain.

“Tahun ini sahaja portal itu terima wang tunai hampir RM3 juta dan sumbernya tidak tahu dari mana.

“SPRM perlu segera siasat wang tunai itu adakah berbentuk rasuah atau guna dana asing untuk ganggu poltik dan ekonomi negara.

“Trend laporan portal itu sebelum ini telah menunjukkan ia telah mengganggu dan manipulasi macam-macam isu. Jadi hari ini JMM desakan segera menyiasat wang tunai secara atas talian itu,” katanya.

Semalam JMM tampil membuat pendedahan mengenai portal The Malaysian Insight yang didakwa mempunyai hubungan dengan sebuah syarikat yang berpengkalan di luar negara.

Portal tersebut telah didaftarkan dengan nama Syarikat Inside Media Sdn. Bhd. (Inside Media) dan mempunyai kaitan dengan syarikat di Hong Kong iaitu Asian Inside pte. Ltd. di mana Ketua Pegawai Eksekutif bagi syarikat itu adalah individu yang sama.

Carian di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) berhubung The Malaysian Insight mendapati portal itu didaftarkan di bawah Insight Media Sdn. Bhd. dan tertera nama Faridah Begum sebagai Pengarah dan pemilik saham iaitu isteri kepada Peguam Negara. – MalaysiaGazette