SHAH ALAM – Selama 19 tahun rumah yang dibeli masih terbengkalai akhirnya mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara, Datuk Halimaton Saadiah Bohan.
Dalam lawatan dan perjumpaannya dengan pembeli di Seksyen U5 disini hari ini, beliau berjanji akan membawa kes itu ke Lembaga Perumahan Negara (LPN) untuk tindakan.
“Saya datang ke sini untuk mendengar keluhan daripada semua pembeli rumah yang dahulunya dibina dengan harga RM42,000 seunit.
“Disebabkan pemaju bangkrap, pembinaan rumah itu yang dimulakan sejak tahun 2003 tertangguh dan terbengkalai, sedangkan wang pendahuluan sebanyak 10 peratus dari harga rumah sudah dikutip oleh pemaju terbabit,” katanya kepada media.
Projek itu ialah cadangan pembangunan 474 unit rumah pangsa kos rendah di Jalan Pluto U5, Seksyen U5, Shah Alam.
Halimaton Saadiah berkata, mengikut aduan pembeli, pada tahun 2010 ada pemaju baharu ambil alih pembinaan rumah itu, tetapi telah menaikkan harga kepada RM58,000 hingga RM69,000 seunit.
“Saya difahamkan, alasan pemaju baharu ini mengenakan harga lebih tinggi kononnya rumah ini telah dinaik taraf dari pelan asal. Saya rasa ini tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Menurutnya, apa yang mengecewakan, pembeli telah membuat aduan masalah itu kepada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), tetapi tidak ada sebarang tindakan diambil untuk membela hak mereka.
Katanya, selepas mengadakan perjumpaan dengan pembeli, beliau meminta jawatankuasa yang ditubuhkan mengumpul semula semua dokumen untuk diajukan kepada LPN.
“Saya akan berjumpa terus dengan pihak LPN memohon agensi ini membantu menyelesaikan masalah pembeli. Saya rasa masalah ini boleh diselesaikan.
“Selama 19 tahun mereka menunggu dan ada antara mereka telah membayar sebanyak 10 peratus dari harga rumah dan difahamkan ada yang sudah hampir habis bayar dengan bank, tetapi rumah tidak siap.
“Mereka ini bukanlah dalam kalangan orang senang,” katanya. – MalaysiaGazette