KUALA LUMPUR – Malaysia sedia untuk menghulurkan bantuan makanan ke kawasan-kawasan di Selatan Filipina yang terjejas teruk selepas ribut tropika Tembin.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor telah diarahkan untuk mempersiapkan anggota dan menyelaraskan penyerahan bantuan ke sana.
“Pagi ini, saya pulang dari lawatan kerja ke Maghribi. Saya meneliti kesan ribut tropika Tembin yang melanda Filipina selatan sehingga menyebabkan banjir dan tanah runtuh, khususnya di bandar Tubod dan Piagapo.
“Sebaik tiba, saya menghubungi Setiausaha Pertahanan Filipina, Setiausaha Delfin Lorenzana, untuk berkongsi rasa simpati Kementerian Pertahanan, ATM dan rakyat Malaysia terhadap mangsa bencana,” katanya dalam kenyataan.
Untuk rekod, jumlah korban akibat tanah runtuh dan banjir di Filipina dilaporkan meningkat kepada lebih 200 orang selepas ribut tropika Tembin melanda pulau kedua terbesar negara itu.
Kejadian itu juga memaksa puluhan ribu penduduk berpindah.- MalaysiaGazette