BANGKOK – Pihak berkuasa Thailand berada dalam keadaan siap sedia walaupun tidak membesar-besarkan tangkapan seorang warga Malaysia yang didakwa mempunyai kaitan dengan Islamic States (IS) di Pakistan ketika hendak menaiki pesawat Thai Airways ke Bangkok.

“Destinasi terakhirnya bukannya Thailand tetapi Malaysia. Dia berada di Thailand untuk transit ke Malaysia,” kata sumber unit risikan tentera seperti dipetik Bangkok Post.

Sumber itu mengakui pihak berkuasa Malaysia telah memberi amaran kepada para pegawai Thailand mengenai kemungkinan serangan IS di rantau ini pada samburan Krismas.
“Malaysia tidak secara spesifik menyatakan di mana atau bagaimana serangan mungkin berlaku tetapi menyatakan pelbagai kemungkinan, termasuk serangan pada lokasi yang ramai orang berkumpul atau rampasan,” katanya mengulangi bahawa amaran itu tidak dikhususkan kepada Thailand.

Menurut sumber itu, pihak berkuasa percaya suspek yang ditahan di Pakistan tidak menjadikan Thailand sebagai sasaran.

“Destinasi terakhir pada tiket beliau ialah Malaysia,” katanya sambil menambah pihak berkuasa Thailand berada dalam keadaan berjaga-jaga sepanjang musim perayaan ini.

Beliau menyatakan demikian sebagai mengulas laporan media mengenai warga Malaysia, Al Muhd Alfie Kqhyriel, 20, yang ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Jinnah di Karachi pada Sabtu lalu ketika mahu menaiki pesawat Thai Airways untuk ke Bangkok.

Pihak berkuasa negara itu merampas empat pucuk pistol, lapan tempat simpanan peluru (magazine) dan 70 butir peluru yang disorok dalam beg dan kasut lelaki itu, menurut laporan. Lelaki itu dikatakan mempunyai hubungan dengan IS.

Sementara itu, seorang eksekutif kanan Thai Airways berkata, syarikat penerbangan itu tidak menawarkan perkidmatan terus antara Karachi dan Malaysia dan jika suspek IS tersebut mahu terbang ke Malaysia dia perlu mengambil penerbangan sambungan di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi yang mana pemeriksaan keselamatan akan dilakukan ke atas beliau dan bagasinya.

“Memandangkan langkah keselamatan yang ketat dan penggunaan teknologi canggih, adalah sukar untuk sesiapa menyeludup senjata api dan peluru dalam jumlah yang besar melepasi lapangan ini dan masuk ke dalam pesawat.

“Adalah tidak masuk akal untuk suspek berfikir dia boleh membawa senjata api dan peluaru ke dalam pesawat.

“Persoalan saya mengapa dia mengambil penerbangan sambungan dengan mempawa barangan yang dilarang apabila dia perlu mengharungi beberapa pemeriksaan.

“Kami tidak dapat mengesahkan Al Muhd Alfie Kqhyriel berada dalam senarai penumpang dari Karachi. Senarai penumpang sangat dirahsiakan oleh syarikat penrebangan,” kata pegawai Thai Airways itu. – Agensi