KUALA LUMPUR – Pertembungan tiga penjuru di Selangor tidak dapat dielak lagi, terbaharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) memberi isyarat mengesahkan bakal meletakkan calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Lembah Jaya pada pilihan raya umum akan datang.
DUN Lembah Jaya yang berada dalam kawasan Parlimen Ampang ketika ini disandang wakil Pas, Khasim Abdul Aziz yang menang dua penggal atas tiket Pakatan Rakyat sebelum ini.
PKR difahamkan juga sudah merestui untuk memberi laluan kepada PPBM bertanding di kerusi tersebut bagi mencabar Pas dan UMNO pilihan raya umum ke-14.
Bagaimanapun, selepas berlaku perpecahan dalam Pakatan Rakyat maka Pas kini tidak lagi bekerjasama dengan PKR dan DAP di kawasan tersebut.
DUN Lembah Jaya merupakan kubu kuat UMNO sebelum ini sehinggalah tumbang pada 2008 yang menjalinkan kerjasama dengan PKR dan DAP sebelum ini.
Memandangkan Pas sudah menamatkan kerjasama, PPBM mula mengintai untuk meletak calon mereka di Lembah Jaya dan sudah melakukan kerja akar umbi disitu.
“Kami sudah memulakan kerja akar umbi disini dan memandangkan Pas sudah memutuskan kerjasama dengan Pakatan, maka kerusi di sini kosong.
“Dahulu ini kerusi UMNO, kemudiaan Pas menang. Dahulu Pas menang atas tiket Pakatan dan melawan UMNO. Sekarang dalam rundingan adalah dimana kerusi UMNO, kami (PPBM) akan lawan. Di mana kerusi Pas, Amanah (PAN) akan lawan,” kata sumber kepada MalaysiaGazette.
Selain itu, sumber juga menjelaskan sekiranya ada pertindihan dengan PAN dan PPBM, maka formula lain akan digunakan dimana aspek calon boleh menang akan diambilkira dan jentera yang bekerja dikawasan tersebut juga dinilai.
Dalam isu kerusi DUN di kawasan Parlimen Ampang, satu lagi kerusi DUN iaitu Chempaka yang juga disandang oleh Pas mungkin calon dari PAN akan diletak untuk bertanding dengan Datuk Iskandar Abdul Samad yang merupakan wakil rakyat kawasan tersebut.
DUN Chempaka lebih selamat jika calon PAN diletak disitu kerana jumlah pengundi Cina yang tinggi pasti akan menyokong mereka berbanding calon daripada PPBM.
Selain itu, sentimen pengundi Cina mungkin tidak memihak kepada Pas kerana cenderung untuk bersama dan menjalin hubungan rapat dengan UMNO. – MalaysiaGazette
Comments are closed.