Skuad B-23 kebangsaan sedang menjalani latihan dua minggu di Mokpo, Korea Selatan. Foto Football Association of Malaysia (Official).

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad bawah 22 tahun (B-22) kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee memilih seramai 23 pemain bagi menghadapi pusingan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang akan berlangsung di Jiangsu, China dari 9 hingga 27 Januari 2018.

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan memaklumkan tiga pemain digugurkan daripada senarai pemain yang berlepas ke Mokpo, Korea Selatan pada 17 Disember lalu.

Ketiga-tiga pemain tersebut adalah pemain pertahanan, Raphi Azizan Mariappen, 21, yang mewakili PJ Ranger serta dua pemain tengah, Ahmad Khairil Anuar Zamri, 22, (Perak) dan K. Thivandaran, 18, (Pulau Pinang).

“Ketiga-tiga pemain yang digugurkan ini dilihat masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan lama. Namun mereka menunjukkan kesungguhan selama berada dalam pasukan ini.

“Mereka akan pulang ke tanah air pada esok tetapi masih perlu bersedia untuk ke China jika terdapat mana-mana pemain dalam senarai 23 pemain mengalami kecederaan sebelum sepak mula perlawanan pertama pada 10 Januari,” jelas kenyataan itu.

Sepanjang dua minggu di Mokpo, skuad B-23 kebangsaan telah mengharungi tiga perlawanan persahabatan menentang kelab tempatan Korea Selatan yang menyaksikan mereka seri 1-1 dengan Mokpo City FC pada 20 Disember.

Anak buah Kim Swee turut menewaskan Honam University 1-0 pada 22 Disember dan seri 1-1 dengan Jeonju Citizen FC pada 28 Disember.

Barisan 23 pemain ini akan berlepas dari Seoul, Korea Selatan ke Nanjing, China pada Sabtu untuk perlawanan persahabatan terakhir bertemu skuad B-23 Syria di Stadium Pusat Latihan Jiangsu, Nanjing pada Jumaat sebelum sepak mula kejohanan.

Sementara itu, bagi kejohanan sebenar, skuad B-23 kebangsaan dijadual tiba di Changshu pada 6 Januari bagi menghadapi dua perlawanan awal Kumpulan C bertemu Iraq pada 10 Januari dan Jordan pada 13 Januari sebelum aksi terakhir berdepan Arab Saudi di Kunshan pada 16 Januari.

Jika skuad B-23 kebangsaan muncul dua pasukan teratas kumpulan, aksi suku akhir akan berlangsung pada 20 Januari diikuti separuh akhir pada 23 Januari dan final pada 27 Januari 2018. – MalaysiaGazette